Audi dilaporkan sedang berbincang dengan SAIC Motor untuk membeli platform kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dari pengeluar automotif dari China berkenaan.
Menurut laporan Reuters yang memetik sumber rapat berkenaan perkara ini, jenama automotif premium dari Jerman yang bernaung di bawah Volkswagen Group tersebut berminat untuk membeli platform EV dari IM Motors, iaitu syarikat kerjasama antara SAIC Motor dan dua syarikat teknologi China, Zhangjiang Hi-Tech dan Alibaba Group.
Buat masa sekarang IM Motors mempunyai beberapa model EV yang sedang dijual termasuk SUV LS7 dan juga saingan terus kepada Tesla Model S iaitu sedan L7. Jenama itu turut akan melancarkan beberapa model baharu selepas ini antaranya sedan yang lebih kecil dari L7 diberi nama L5 yang bakal berhadapan dengan Tesla Model 3.
Namun Audi dan SAIC Motor enggan memberikan sebarang komen berkenaan perkara ini buat waktu ini. Tetapi langkah ini jelas diambil bagi membolehkan Audi lebih berdaya saing dalam segmen EV yang sedang berkembang pesat di pasaran automotif terbesar dunia itu.
Jualan EV Audi di China sekarang sememangnya ketinggalan berbanding pesaing-pesaingnya. Bekas CEO Audi yang baru melepaskan jawatan itu bulan lalu, Markus Duesmann berkata perkara ini terjadi kerana Audi tidak mempunyai model EV yang memenuhi permintaan pelanggan di China.
Data dari Persatuan Pengeluar Automobil China (CAAM) menunjukkan Audi hanya menjual sekitar 3,000 unit EV pada suku pertama tahun ini di China, berbanding 21,646 unit yang dijual oleh BMW dan 137,429 unit yang dijual oleh Tesla.
Model-model EV Audi buat masa sekarang seperti Q4 e-tron dan Q5 e-tron menggunakan platform MEB yang dibangunkan oleh Volkswagen Group. Ia juga kini sedang membangunkan satu lagi platform yang lebih premium digelar Premium Platform Electric (PPE) bersama jenama kereta sport yang juga di bawah payung VW iaitu Porsche.
Model-model yang dihasilkan dengan platform PPE pula hanya akan diproduksi di China tahun hadapan dengan kerjasama satu lagi syarikat China iaitu First Automobile Works (FAW).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.