Selepas dipertonton buat pertama kali Mei lalu, Hyundai Exter akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran India, sebagai SUV paling murah jenama itu. Ditawarkan dalam lima varian iaitu EX, S, SX, SX (O) dan SX (O) Connect, model ini dijual pada harga bermula 599,900 rupee (RM33k) sehingga 999,990 rupee (RM55k).
Jika melihat kepada segmennya, Exter ini boleh dikira agak kompak dengan ukuran panjang 3,815 mm, lebar 1,710 mm, tinggi 1,631 mm dan jarak roda 2,450 mm. Ia datang dalam pilihan dua enjin, bermula dengan petrol empat silinder NA 1.2 liter Kappa berkuasa 83 PS (82 hp atau 61 kW) pada 6,000 rpm dan tork 113.8 Nm pada 4,000 rpm, dihantar kepada roda hadapan.
Enjin ini dipadankan bersama transmisi sama ada manual atau automatik lima kelajuan, untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan. Enjin kedua adalah unit 1.2 liter yang boleh menggunakan bahan api petrol ataupun gas asli mampat (CNG). Kuasa enjin ini bagaimanapun adalah sedikit kurang, iaitu 69 PS (68 hp atau 50.5 kW) dan tork 95.2 Nm, dan cuma datang dengan transmisi manual lima kelajuan.
Suspensi Exter datang dalam tetapan MacPherson untuk hadapan dan torsion beam di belakang, sementara stereng pula menggunakan sistem kuasa elektrik dan brek terdiri daripada cakera di hadapan dan dram di belakang. Saiz rim adalah antara 14 hingga 15 inci, bergantung kepada varian.
Untuk kelengkapan, varian SX (O) Connect paling tinggi datang dengan lampu utama projector halogen, DRL LED, lampu belakang LED, rim 15 inci, balutan tempat duduk gabungan kulit dan fabrik, panel instrumen digital, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci (sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), bumbung suria boleh buka, sistem kunci pintar, pengecas telefon tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan corong di belakang, dua kamera dashcam serta kotak barangan yang disejukkan.
Semua varian Exter dilengkapi dengan enam beg udara, amaran tali pinggang (semua tempat duduk), auto-lock dengan pengesan kelajuan dan cagak ISOFIX, manakala ESC, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Start Assist, kamera undur dan pemerhati tekanan angin tayar diberikan pada varian tertentu.
Warna utama yang digunakan untuk bahagian dalam adalah hitam, tetapi ia mempunyai beberapa tema dengan perbezaan pada kemasannya. Pilihan pertama adalah Cosmic Blue, yang dipadankan bersama bahagian luar yang menggunakan warna sama (bumbung hitam boleh dipilih). Seterusnya adalah Light Sage, dengan pilihan warna luar Ranger Khaki atau Atlas White, dan akhir sekali adalah Silver, yang boleh dipadankan dengan warna luar Starry Night, Fiery Red, Atlas White atau Titan Grey.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.