LEKAS turut jadi ‘trek lumba haram’ pilihan mat rempit

LEKAS turut jadi ‘trek lumba haram’ pilihan mat rempit

Bukan setakat Lebuhraya PLUS yang menjadi pilihan untuk dijadikan ‘trek lumba haram’, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) turut popular di kalangan mat rempit. Ia menjadi lokasi untuk kumpulan mat rempit terutamanya pada hujung minggu untuk berlumba dan mempamerkan aksi berbahaya.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, sepanjang tahun 2023 sahaja, dua kes kemalangan maut membabitkan kumpulan penunggang motosikal direkodkan di laluan berkenaan, laporan Harian Metro.

“Selain laluan Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS), Lebuhraya LEKAS antara lokasi yang dikesan menjadi pilihan kumpulan ‘mat rempit’. Lebuhraya LEKAS yang melalui negeri ini bermula dari KM 13.7 hingga KM 43.

“Bagi tempoh Januari hingga 11 Julai 2023, sebanyak 127 kemalangan dilaporkan dengan dua daripadanya membabitkan ‘mat rempit’. Kedua-duanya adalah kemalangan maut dengan masing-masing meragut satu nyawa,” katanya.

Beliau menambah, bagi mengekang aktiviti jalanan, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis termasuk mengadakan pelbagai operasi penguatkuasaan.

“Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 11 operasi dijalankan terutama Op Cegah Samseng Jalanan di laluan itu. Sebanyak 444 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan penunggang motosikal.

LEKAS turut jadi ‘trek lumba haram’ pilihan mat rempit

“Manakala sebanyak 20 motosikal disita daripada operasi berkenaan dengan seorang ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Katanya lagi, penunggang motosikal yang menunggang dan memotong secara ‘zig-zag’ yang didapati melanggar undang-undang di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu memandu secara berbahaya dan melulu, jika disabitkan kesalahan, pemandu atau penunggang boleh dipenjara sehingga lima tahun serta dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000. Jika pemandu adalah pemegang lesen memandu percubaan (P), lesen boleh dibatalkan.

“Bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda minimum RM10,000, maksimum RM20,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga tempoh 10 tahun,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut meminta semua pengguna jalan raya agar memandu dengan berhati-hati dan patuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas.

“Saya juga menggesa ibu bapa supaya memantau aktiviti anak masing-masing terutama yang menggunakan motosikal kerana kebanyakan yang terbabit dengan mat rempit ini terdiri daripada remaja berusia 16 tahun hingga awal 20-an,” tambahnya.

Pada 10 Julai lalu, akibat melakukan pelbagai aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di LEKAS, sekumpulan mat rempit terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang daripadanya maut di tempat kejadian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required