BYD Dolphin dilancarkan di Malaysia 27 Julai – ROI dibuka, pandu uji pada 28-30 Julai di One Utama

BYD Dolphin dilancarkan di Malaysia 27 Julai – ROI dibuka, pandu uji pada 28-30 Julai di One Utama

Sebelum ini, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) telah pun menayangkan teaser bagi Ocean Series dengan tajuk “The New Electric Wave.” Ia merujuk kepada model Dolphin, hatchback elektrik penuh lima-pintu. Malahan sebelum Malaysia, negara jiran termasuk Thailand dan Singapura telah pun melancarkan model Dolphin ini di negara masing-masing.

Kini masanya bakal tiba apabila BYD SDM akan melancarkan EV Dolphin pada 27 Julai ini. Malahan BYD SDM telah membuka pendaftaran minat (ROI) bagi mana-mana individu yang mahu memandu uji EV ini menerusi acara khas yang akan dianjurkan pada 28 hingga 30 Julai ini bertempat di kawasan parkir terbuka di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

Sewaktu pelancaran Atto 3 di Malaysia pada awal Disember 2022, BYD turut mempertontonkan Dolphin, dan ada perkhabaran menyatakan bahawa ia mungkin boleh dijual pada harga di bawah RM100k, seterusnya menjadikannya sebagai model EV paling mampu milik di Malaysia selepas ini.

BYD Dolphin dilancarkan di Malaysia 27 Julai – ROI dibuka, pandu uji pada 28-30 Julai di One Utama

Seperti Atto 3, Dolphin juga dihadirkan dengan dua varian iaitu Standard Range dan Extended Range. Walau bagaimana pun, belum dipastikan adakah kedua-dua varian berkenaan bakal dijual di sini atau pun hanya salah satu daripadanya.

Begitu juga dengan perincian penuh untuk varian yang bakal dijual di sini, adakah ia sama dengan penawaran yang diterima di Thailand. Jika di sana, ia ditawarkan dengan kedua-dua varian yang dinyatakan, dengan Standard Range ang menampilkan sebuah motor elektrik di depan yang membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm tork: pecutan 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.92 kWh — memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC.

Untuk pengecasan, Standard Range menyokong input maksimum 7 kW untuk AC, sementara untuk DC dengan 60 kW, disertakan sekali ciri vehicle-to-load (V2L) untuk menjadi sumber kuasa bagi peranti dan aksesori lain.

BYD Dolphin dilancarkan di Malaysia 27 Julai – ROI dibuka, pandu uji pada 28-30 Julai di One Utama

Varian paling tinggi pula ialah Extended Range yang menerima dwi-warna badan serta kapasiti bateri yang lebih besar, 60.48 kWh. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 490 km, dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang membekalkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm: 0-100 km/j dalam tujuh saat. Untuk pengecasan AC, ia dalam kadar yang sama dengan varian rendah, tetapi untuk DC kadarnya mampu menampung sehingga 80 kW — sokongan V2L adalah standard.

Dari segi kelengkapan, Dolphin hadir dengan lampu utama LED adaptif, cermin sisi dengan pemanas, pilihan rim 16 atau 17-inci, kluster instrumen digital lima-inci, material kulit buatan, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 12.8-inci, sokongan Apple CarPlay, sistem tanpa kunci, pendingin automatik, bumbung kaca panoramik dan pengecas telefon tanpa wayar.

Ciri keselamatan pula terdiri daripada sistem pasif biasa (ABS, kawalan cengkaman, ESC) dan disertai oleh ciri aktif seperti kawalan melayar adaptif, brek autonomous kecemasan, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang serta amaran dan penghindaran penukaran lorong.

Untuk mengetahui perincian penuh dan harga yang ditawarkan untuk Dolphin di pasaran Malaysia, kita kena nantikan sewaktu ia dilancarkan minggu hadapan. Adakah benar harga bagi Dolphin adalah di bawah RM100k dan mampu memberikan persaingan buat Neta V yang ketika ini menjadi model EV paling mampu milik di Malaysia dengan harga RM99,800. Jika berminat untuk menyertai sesi pandu uji BYD Dolphin ini, sila daftarkan butiran diri anda menerusi PAUTAN INI.

GALERI: BYD Dolphin yang dipertontonkan di Bangkok Internation Motor Show 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required