Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, telah memaklumkan penutupan penuh jalan FT006 seksyen 45.40 hingga seksyen 46.80 iaitu jalan mengelilingi pulau dari Jalan Balik Pulau ke Teluk Bahang sejak 14 Julai lalu hingga tempoh yang dimaklumkan kelak. Ini berikutan berlakuknya hakisan tanah dan kegagalan cerun di kawasan terbabit.
Beliau berkata,hasil penyiasatan awalan di tapak oleh pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kegagalan cerun yang berlaku adalah disebabkan oleh hakisan tanah daripada taburan air hujan yang tinggi beberapa hari sejak 1 Julai lalu.
“Aliran trafik pada ketika itu dibuka hanya satu lorong bagi kenderaan ringan sahaja. Walau bagaimanapun, ekoran kegagalan cerun kali kedua di laluan FT006 Seksyen 45.40 pada 10 Julai 2023 maka pihak JKR telah mengeluarkan notis penutupan sebahagian jalan FT006 iaitu Jalan Mengelilingi Pulau (Jalan Balik Pulau–Teluk Bahang) sepenuhnya mulai 14 Julai 2023 sehingga suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
“Hasil penyiasatan awalan di tapak dapat diketahui bahawa kegagalan cerun yang berlaku adalah disebabkan oleh hakisan tanah daripada taburan air hujan yang tinggi selama beberapa hari sejak 1 Julai lalu,” katanya.
Tambah beliau, disebabkan jalan tersebut merupakan jalan Persekutuan, maka permohonan segera telah dibuat kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia.
“Kelulusan telah pun diterima untuk kerja-kerja pembaikan di laluan FT006 Seksyen 45.40 dan Seksyen 46.80 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 juta. Kerja-kerja pembaikan adalah menggunakan kaedah Soilnail Tieback Wall bagi kedua-dua cerun yang telah runtuh.
“Skop kerja-kerja pembaikan meliputi Micropile, Soilnailing, Retaining Wall, Backfill, Drainage, Resurface dan Guardrail. Kerja-kerja ukur dan penyiasatan tanah (SI) juga sedang berjalan dan akan disiapkan dalam masa terdekat. Data SI yang diterima akan direkabentuk berdasarkan kepada keadaan semasa di tapak dan kestabilan cerun,” jelasnya sambil menambah tempoh kerja-kerja pembaikan ini dianggarkan selama tiga hingga empat bulan.
Justeru, semua pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif lain sama ada melalui Jalan Tun Sardon–Balik Pulau atau Jalan Teluk Kumbar–Jalan Balik Pulau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.