Mac lalu Great Wall Motor Malaysia telah pun mendedahkan spesifikasi awalan untuk trak pikap yang bakal dijual di pasaran Malaysia iaitu GWM Cannon P12. Sesi pratonton untuk model ini juga telah dibuat pada bulan yang sama, namun bila tarikh ia akan dilancarkan dan dijual di sini masih belum dimuktamadkan.
Walau bagaimanapun, nampaknya sudah ada pengedar tempatan yang mendedahkan harga trak pikap ini. Dalam hantaran media sosial yang dibuat oleh pengedar berkenaan, GWM Cannon P12 yang ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Ultra ini akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM127,800. Ia dilindungi waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, GWM akan membawa dua model Cannon ke pasaran Malaysia iaitu P11 dan P12. Kedua-dua model ini menampilkan badan jenis Double Cab, namun P11 adalah lebih kepada trak komersil manakala P12 pula datang dengan spesifikasi untuk kegunaan persendirian harian.
Jadi untuk penampilan sebelah luar, Cannon P12 Ultra ini menerima gril hadapan dengan elemen melintang yang disalut krom bersama lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang LED, berbanding P11 yang diberikan gril dengan elemen batu berlian bersama lampu hadapan dengan bentuk sedikit berbeza, tanpa lampu nyalaan siang.
Kedua-dua versi Cannon ini dibekalkan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin turbodiesel empat silinder 2.0 liter yang mampu menghasilkan sehingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork maksima 400 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dari ZF bersama sistem pacuan empat roda.
Konfigurasi suspensi juga sama antara P11 dan P12, dengan bahagian hadapan menggunakan double wishbone manakala di belakang menggunakan spring dedaun. Walaubagaimanapun, P12 mendapat stereng kuasa elektrik dan rim 18 inci (tayar 265/60), berbanding P11 yang cuma menggunakan stereng hidraulik dan rim 17 inci (tayar 245/70).
Perincian lain yang turut dibekalkan pada Cannon P12 termasuk differential boleh kunci pada gandar belakang, pelbagai mod pemanduan, lampu utama LED automatik, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, pemijak kaki belakang, upholsteri kulit, tempat duduk larasan kuasa, penukar gear di stereng, panel instrumen digital tujuh inci, skrin sesentuh sembilan inci (dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), pendingin hawa automatik (dengan corong di belakang) serta sistem tanpa kunci dan butang penghidup enjin.
Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemanduan, P12 dilengkapi dengan enam beg udara, kamera 360 darjah, brek parkir elektronik, sistem pengenalan tanda jalan dan ciri pemanduan autonomous Tahap 2 yang merangkumi sistem Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centring Assist dan Autonomous Emergency Braking (AEB).
GALERI: GWM Cannon P12
GALERI: GWM Cannon P11
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.