Kurang dari seminggu lagi, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) bakal melancarkan model Dolphin di pasaran tempatan, yang direncana bakal berlangsung pada 27 Julai ini. Namun, demi menghangatkan lagi bahang kemunculannya di Malaysia, BYD SDM secara eksklusif mempertontonkan Dolphin di khalayak ramai menerusi acara EVx 2023 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam.
Model hatchback lima-pintu elektrik yang dipamerkan ini adalah sama dengan unit yang dikesan sedang diuji di jalan raya baru-baru ini. Ia dilitupi balutan penyamaran berwarna biru dan terpapar pelekat “A New Wave Is Coming” pada bahagian sisinya. Keseluruhan cerminnya ditutup dengan lapisan hitam, jadi memang tak nampaklah bahagian kabinnya.
Buat masa ini, BYD SDM masih belum mendedahkan spesifikasi penuh bagi Dolphin pasaran Malaysia. Namun ia akan menawarkan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) berdasarkan kelihatan penderia berhampiran cermin pandang belakang. Ia juga diberikan tayar Linglong Comfort Master yang membaluti roda 17-inci.
Model EV kedua dari BYD yang dipasarkan di Malaysia selepas Atto 3 ini berukuran 4,150 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,700 mm. Sebagai perbandingan di dalam segmen hatchback, Honda City Hatchback pula berukuran 4,345 mm panjang, 1,748 mm lebar, 1,488 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,600 mm. Menjadikannya lebih panjang berbanding Dolphin.
Terdapat perkhabaran menyatakan bahawa Dolphin bakal ditawarkan dengan harga di bawah RM100,000 dan sekaligus menjadikannya sebagai EV paling murah di pasaran Malaysia. Sebelum ini, pesaingnya, Neta V yang ditawarkan pada harga RM99,800 menjadi EV termurah dalam pasaran. Dolphin telah pun dijual di Thailand dengan harga bermula 699,999 (RM92,975) untuk varian Standard Range, sementara model spesifikasi penuh Extended Range berharga 859,999 baht (RM114,205).
Di Thailand, Standard Range menampilkan sebuah motor elektrik di depan yang membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm tork: pecutan 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.92 kWh — memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 12.3 saat.
Sementara itu, Extended Range yang menerima dwi-warna badan serta kapasiti bateri yang lebih besar, 60.48 kWh. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 490 km, dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang membekalkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm: 0-100 km/j dalam tujuh saat. Untuk pengecasan AC, ia dalam kadar yang sama dengan varian rendah, tetapi untuk DC kadarnya mampu menampung sehingga 80 kW — sokongan V2L adalah standard.
Kalau nak tahu spesifikasi penuh, varian dan harga yang ditawarkan untuk Dolphin ini, kena nantikan pelancarannya minggu hadapan. Walau bagaimana pun BYD SDM telah membuka pendaftaran minat (ROI) bagi mana-mana individu yang mahu memandu uji EV ini menerusi acara khas yang akan dianjurkan pada 28 hingga 30 Julai ini bertempat di kawasan parkir terbuka di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.
Bagi yang mempunyai masa terluang hari ini atau esok, jangan lepaskan peluang berkunjung ke acara EVx 2023 di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam. Acara tahunan yang membariskan model-model EV di pasaran Malaysia adalah anjuran Paultan.org, berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Masuk adalah percuma!
GALERI: BYD Dolphin yang dipertontonkan di Bangkok Internation Motor Show 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.