Benelli memperkenalkan model baru TRK 702 di Eropah, yang disediakan dalam dua versi iaitu TRK 702 biasa dan TRK 702X. Spesifikasi teknikal dua model ini kebanyakannya sama tetapi beberapa kelengkapan ditukar supaya 702 biasa dapat dijadikan lebih untuk kegunaan atas jalan biasa, sementara 702X lebih lasak.
Enjin yang digunakan untuk 702 adalah unit dua silinder selari DOHC 698 cc, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 70 hp pada 8,000 rpm dan tork 70 Nm pada 6,000 rpm. Benelli memberitahu, enjin serba baru ini mendapat penarafan Euro 5 dan mencatat penggunaan bahan api 4.6 l/100 km dalam ujian.
Beza utama antara 702 dengan 702X adalah pada bahagian rim, dengan 702 mendapat unit aluminium 17 inci hadapan dan belakang, dibalut tayar Pirelli Angel GT masing-masing bersaiz 120/70 dan 160/60, sementara 702X pula mendapat rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR masing-masing bersaiz 110/80 dan 150/70.
Suspensi juga terdapat sedikit perbezaan, dengan 702X menggunakan monoshock boleh laras penuh dengan jarak gerak lebih panjang, iaitu 50 mm, sementara pada 702 biasa ia cuma 45 mm. Suspensi hadapan adalah sama, iaitu fork USD 50 mm dengan jarak gerak 140 mm. Satu lagi kelebihan 702X adalah ia mendapat tongkat tengah.
Kelengkapan lain yang tersedia pada dua TRK 702 baru ini adalah tangki bahan api 20 liter, brek cakera berkembar 320 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 260 mm dengan angkup satu piston di belakang, ABS dual-channel, lampu utama LED serta panel paparan TFT resolusi tinggai lima inci yang boleh disambung kepada telefon pintar.
Dijual pada harga bermula 7,490 Euro (RM38,144), TRK 702 diberikan terus dengan beg barangan tepi dan belakang sebagai promosi tempoh awal. Berat keseluruhan motosikal adalah 215 kg untuk 702 biasa dan 218 kg untuk 702X.
GALERI: Benelli TRK 702X 2023
GALERI: Benelli TRK 702X 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.