Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang gigih memburu sebanyak 100 kenderaan mewah seperti Ferrari dan McLaren, yang dibawa keluar dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.
Menurut sumber yang memaklumkan kepada Harian Metro, hasil siasatan menerusi operasi khas SPRM, terdapat 100 kenderaan mewah yang berada di atas jalan raya di seluruh negara selepas pemilik kenderaan terbabit dipercayai bersekongkol dengan sindiket yang ‘menguruskan’ aktiviti ini.
“Kenderaan ini ada yang dibeli pada 2015 lagi dan mendapati ada yang sudah bertukar pemilik asalnya hingga ke pemilik ketiga.
“SPRM sudah mengumpul dokumen berkaitan kenderaan mewah terbabit bagi mengesan kenderaan itu dan membantu siasatan. Siasatan akan diteruskan bagi membawa pulang kembali ketirisan wang cukai kerajaan oleh sindiket terbabit,” kata sumber terbabit.
Tambahnya, pihak SPRM akan mengadakan fasa kedua operasi khas itu untuk diambil tindakan. Di mana fasa pertama operasi khas yang dijalankan di utara negara pada 13 Julai lalu, pihaknya berjaya menyita 20 kereta mewah.
“Hasil operasi itu, SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.
“Dalam operasi itu, tujuh individu berjaya ditahan di Kedah dan mereka yang dikesan ini adalah ejen sebuah agensi kerajaan yang bersubahat dengan mengemukakan maklumat palsu. Siasatan SPRM mendedahkan suspek itu bersubahat bersama pemilik kereta terbabit dengan mengemukakan dokumen yang mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.