Garis panduan untuk membina stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di premis seluruh negara telah pun tersedia, dan sudah diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman, berkata pihak KPKT akan menilai garis panduan tersebut sebelum diumumkan kelak, laporan Bernama.
“Bagi menyiapkan garis panduan ini, kita bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia, Persatuan Kenderaan Pelepasan Karbon Sifar (ZEVA), dan pelbagai badan bukan kerajaan. Antara cadangan dalam garis panduan tersebut ialah jarak kenderaan daripada laluan masuk dan keluar premis, tingkat yang sesuai untuk pemasangan dan pelbagai perkara lain,” katanya.
Jelas beliau, garis panduan itu merupakan prosedur permohonan dan kelulusan pemasangan stesen pengecas EV di premis, sama ada di dalam atau di luar bangunan dengan melihat daripada sudut keselamatan kebakaran.
“Garis panduan berkenaan disediakan untuk kawalan keselamatan kebakaran bagi pemasangan stesen pengecas EV di premis dan kawasan komersial sahaja, serta tidak melibatkan lokasi kediaman,” ujarnya lagi sambil menambah buat masa ini terdapat 1,063 stesen pengecas EV seluruh negara dan kerajaan menjangkakan 10,000 stesen menjelang 2025.
Selain itu, katanya, proses pemadaman melibatkan EV memerlukan penggunaan air yang banyak dan memakan masa, serta berisiko untuk terbakar semula. Di mana antara risiko yang boleh menyebabkan kebakaran EV ini ialah bateri, keadaan jalan raya, cuaca persekitaran dan stesen pengecas.
“Sebagai contoh kemalangan di jalan raya seperti jika ada kepanasan atau geseran, itu boleh menyebabkan kebakaran, kerana bateri kenderaan elektrik ini ditempatkan di lantai atau bawah kereta itu.
“Selain itu boleh berlaku litar pintas dalaman dan luaran, terlebih voltan, terlebih cas, kepanasan luaran dan kerosakan buatan. Ini memberi kesan kepada suhu naik dan boleh merebak ke kenderaan lain,” katanya.
Ahmad Izram berkata setakat ini pihaknya menggunakan medium pemadaman secara konvensional iaitu menggunakan air dan buih (foam), serta beberapa peralatan khas seperti sarung tangan khas. Tambahnya, sarung tangan tersebut disediakan di dalam setiap jentera JBPM sejak 2015, ketika negara menghadapi kemasukan kenderaan hibrid.
“Kenderaan hybrid ini menggunakan bateri dan petrol dan kita pelajari cara untuk proses pemadaman kenderaan yang menggunakan bateri sepenuhnya.
“Kenderaan elektrik pula memerlukan kaedah penyejukan untuk proses pemadaman kerana ia mempunyai thermal runaway, jika tidak dicegah api akan merebak ke tempat lain, beza (cara pemadaman) dengan kenderaan yang ada ketika ini, kita selalunya menggunakan air bergantung kepada situasi dan tidak mengambil masa lama,” katanya.
Walau bagaimana pun, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan membabitkan kenderaan elektrik, namun sebanyak lapan laporan kenderaan jenis hibrid, diterima pada tahun ini. Ini termasuklah satu laporan membabitkan kebakaran empat skuter elektrik di Kuala Lumpur pada April lepas, yang turut menyebabkan sembilan motosikal terbakar dalam kejadian itu.
Ahmad Izram turut berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pembekal pemasang kenderaan elektrik, bagi mengenal pasti bahagian kenderaan yang boleh membantu kepada usaha pemadaman, sekiranya terbakar.
“JBPM sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan berlaku kebakaran melibatkan kenderaan elektrik ini, kita akan gunakan kelengkapan sedia ada, selain meneruskan kesedaran awam mengenai perkara ini,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.