Skuter popular di negara jiran, iaitu Honda Genio telah diberikan penampilan baru untuk model tahun 2023. Ia merangkumi tiga warna baru untuk varian CBS-ISS dan tiga lagi warna serta grafik baru untuk varian CBS. Di negara itu, Genio dijual pada harga bermula 19.1 juta Rupiah atau bersamaan RM5,797.
Pembaharuan yang diberikan tahun ini cuma merangkumi warna dan grafik sahaja, sementara bahagian lain semuanya masih lagi sama. Genio dipacu oleh enjin satu silinder SOHC 110 cc, dengan sistem suntikan bahan api dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 9.0 PS pada 7,500 rpm dan tork 9.3 Nm pada 5,500 rpm.
Dilengkapi dengan brek cakera di hadapan dan dram di belakang, Genio tidak masih tidak dilengkapi ABS, tetapi menggunakan sistem Combined Brake System (CBS) termasuk untuk varian permulaan. Varian yang lebih tinggi pula mendapat sistem Idling Stop System (ISS) yang boleh membantu penggunaan bahan api.
Datang dengan rim 12 inci hadapan dan belakang, dibalut tayar masing-masing bersaiz 100/90 dan 110/90, Genio menawarkan tunggangan yang lincah, bersama kemudahan seperti ruang simpanan bawah tempat duduk serta soket pengecas di poket hadapan.
Skuter ini mencatat berat keseluruhan 93 kg, dan dilengkapi fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, lampu utama LED, tangki bahan api 4.2 liter serta panel meter digital dengan penunjuk Eco.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.