Minggu lalu, menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu sekali lagi bahawa kerajaan tidak mempunyai niat untuk menghapuskan sistem AP untuk kenderaan import, meskipun memberikan perlepasan kepada Tesla.
Beliau berkata, sistem AP akan terus digunakan, meskipun kerajaan telah membenarkan Tesla Motors menjual kereta mereka di Malaysia tanpa mengikut aturan AP yang dikenakan kepada syarikat penjual kenderaan lain di Malaysia. Ini adalah kerana Tesla adalah pemohon pertama yang telah diluluskan untuk inisiatif BEV Global Leaders.
Menurut pakar ekonomi, keputusan untuk terus menggunakan sistem AP adalah satu langkah ke belakang. Sementara masih akur bahawa penghapusan skim itu mungkin boleh menyebabkan kerajaan hilang sumber pendapatan yang besar, Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata bahawa penghapusan AP dapat membenarkan saingan sihat antara pengeluar kenderaan tempatan dan juga dari luar – lapor FMT.
Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran juga bersetuju, sambil mengatakan bahawa penghapusan AP akan mewujudkan saingan yang lebih baik serta memberi manfaat kepada pengguna. “Penghapusan AP bukan sahaja dapat memberikan pelanggan akses kepada lebih banyak produk pada harga lebih berpatutan, tetapi juga menggalakkan saingan kepada pengeluar tempatan, menekan mereka untuk memperbaiki lagi harga serta teknologi yang ditawarkan,” kata beliau.
Tambah Ferlito, beliau sedar langkah kerajaan mengecualikan Tesla daripada menggunakan AP dibuat untuk membangunkan industri EV dalam negara, tetapi tertanya mungkinkah ia boleh dilakukan dengan cara berbeza. “Secara prinsipnya ia tidak salah, tetapi saya lebih condong kepada penggunaan cukai jualan yang lain, contohnya,” kata beliau.
Beliau berkata, pengecualian seperti ini boleh memberikan gambaran bahawa layanan istimewa diberi kepada sesuatu jenama berbanding produk. “Ini mungkin menimbulkan satu isu dalam hubungan kerajaan dengan pengeluar lain yang sudah beroperasi di Malaysia bagi tempoh yang lebih lama,” kata Ferlito.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.