Ini kemaskini rasmi untuk pembaikkan lubang besar yang terjadi di KM 66.1 Lebuhraya KL-Karak akibat mendapan tanah. Pengendali lebuhraya tersebut iaitu Anih Berhad telah membuat pengumuman sekitar pukul 11.30 malam semalam menyatakan bahawa laluan dari Kuala Lumpur ke Kuantan kini sudahpun dibuka semula.
Walau bagaimanapun, Anih menambah “bagi pengguna yang ingin ke Kuala Lumpur masih perlu menggunakan laluan alternatif buat masa ini.”
Manakala menerusi kemaskini yang dibuat pada akaun Facebook Kementerian Kerja Raya pada pukul 11 malam semalam, laluan arah timur menuju ke Kuantan dijangka akan dibuka semula pada tengah malam tadi, sementara laluan arah barat menuju ke Kuala Lumpur dijangka dibuka pada pukul 7 pagi ini. Walau bagaimanapun sehingga pukul 9.30 pagi ini masih belum ada pengesahan dari Anih berkenaan pembukaan semula laluan arah barat berkenaan.
Foto di bawah telah disiarkan dalam hantaran Kementerian Kerja Raya, dan dapat dilihat lubang mendap tersebut telah dikambus dengan konkrit, dan kemudian disudahkan dengan turapan tar. Berdasarkan laporan dari Malaysia Rail Link (MRL), lubang mendap yang terjadi pada malam 25 Julai dengan diameter hampir 10 meter itu adalah disebabkan Terowong 2 Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang runtuh. Sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan insiden tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.