Aston Martin Kuala Lumpur hari ini memperkenalkan secara rasmi model DB12, sebuah super tourer mewah pertama dunia untuk pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga bermula RM1.08 juta, tidak termasuk cukai dan pilihan kustom yang ditawarkan. Pengenalan ini sekaligus menjadi penanda aras tersendiri untuk Aston Martin, yang pada tahun 2023 ini menyambut ulang tahunnya yang ke-110, dan yang ke-75 untuk model DB ini.
Kereta super tourer ini menggunakan enjin 4.0-liter V8 Twin-Turbo yang diberi talaan khusus untuk menghasilkan janaan 680 PS pada 6,000RPM dan 800Nm dari 2,750 rpm hingga 6,000 rpm. Ini mewakili peningkatan prestasi sebanyak 34% berbanding model DB11 sebelumnya. Ini dicapai melalui beberapa perubahan yang dilakukan terhadap profil cam, nisbah mampatan yang dioptimum serta pengecas turbo yang lebih besar. Aliran haba enjin ini turut diperbaiki dengan 56% bukaan ditambah untuk membolehkan udara sejuk ke radiator.
Kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan-kelajuan dengan pengubah tork. Pertama kali diperkenalkan untuk model Aston Martin DB ialah Electronic Rear Differential (E-Diff) yang boleh mengunci pacuan dalam masa yang sangat pantas untuk mempertingkat kendalian pendikit. DB12 boleh mencecah kelajuan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat, dan mampu mencapai laju maksimum 325 km/j.
Antara aspek yang membolehkan prestasi ini dicapai ialah penggunaan penyerap hentak adaptif pintar generasi baru dengan pertambahan 500% kemampuan untuk agihan dayanya. Ini memboleh kawalan dalam julat yang lebih luas dicapai, untuk disesuaikan dengan mod pemanduan yang ada. Selain itu, Electronic Power Assisted Steering system (EPAS) yang ada juga diperkemaskan lagi — kini dengan nisbah rak stereng 13.09:1 dengan pembolehubah, bantuan sensitif kelajuan dan pusingan penuh pada kadar 2.4 pusingan. DB12 datang dengan lima mode pemanduan — Wet, GT, Sport, Sports Plus dan Individual.
Dengan prestasi gah seperti ini, DB12 dilengkapii cakera brek bersaiz 400 mm (depan) dan 360 mm (belakang) dengan permukaan berliang untuk kapasiti haba yang dipertingkat. Ini boleh dinaiktaraf kepada Carbon Ceramic Brakes (CCB) untuk mendapatkan prestasi brek yang lebih baik — mencecah suhu 800°C dan mengurangan berat komponen tersebut sebanyak 27 kg dan memberi kesan kepada maklum balas stereng serta pemanduan.
DB12 hadir dengan rim aloi diperkukuh 21-inci dengan tiga pilihan rekaan — ini juga 8 kg lebih ringan berbanding rim 20-inci yang digunaan sebelumnya. Ia dibalut oleh tayar Michelin Pilot Sport 5S dengan kompaun khusus dan ditala mengikut spesifikasi pasukan dinamik Aston Martin — tayar ini ditandai dengan kod khas AML untuk membezakannya daripada model tayar berkenaan yang dikeluarkan untuk pasaran umum.
Aston Martin DB12 merupakan model tourer dua pintu dengan konfigurasi tempat duduk 2+2, yang binaannya terdiri daripada struktur badan aluminum. Wajah depan serba barunya diberikan lampu utama dan DRL LED yang memberikan imej khususnya yang tampak lebar — jejak kelebaran kereta ini juga ditambah sebanyak masing-masing 6 mm dan 22 mm untuk tayar depan dan belakang. Semua ini menonjolkan lagi penampilan DB12, dengan rekaan gril ikonik dan maskular yang dibawanya.
Di dalam, sistem infotainmen generasi baru memberikan pengalaman tersendiri. Buat pertama kali, ia dibangunkan sendiri oleh Aston Martin, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar melalui skrin sentuh 10.25-inci beresolusi tinggi. Untuk versi standard, ia hadir dengan 11-pembesar suara, dengan turut ditawarkan sebagai pilihan ialah sistem bunyi 1,170 W dengan 15-pembesar suara yang dibangunkan bersama Bowers & Wilkins. Tentang aksesori pilihan kustom yang ditawarkan, tiada batas dikenakan untuk pelanggan.
Aston Martin DB12 kini sudah berada di Malaysia dengan harga bermula dari RM1.08 juta, belum termasuk cukai dan pilihan kustom pelanggan. Sama seperti model lain yang dijual di sini, DB12 datang dengan perlindungan jaminan lanjutan sehingga 20 tahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.