Bosch telah membuka sebuah kemudahan semikonduktor canggih di Pulau Pinang untuk menjalankan ujian bagi cip dan sensor automotif keluaran jenama itu. Merangkumi keluasan tanah 100,000 meter persegi, tapak kemudahan baru itu meliputi 18,000 meter persegi bilik bersih, ruang pejabat serta makmal R&D untuk menempatkan sehingga 400 pekerja menjelang pertengahan 2030.
Pengeluaran semikonduktor terbahagi kepada dua seksyen, iaitu pengeluaran baris depan dan pengeluaran baris belakang. Kemudahan di Pulau Pinang ini merupakan yang pertama seumpamanya bagi Bosch di Asia Tenggara dan akan memberi tumpuan utama terhadap pengeluaran baris belakang, iaitu ujian akhir untuk cip yang dikilangkan oleh Bosch di Dresden, Jerman.
“Semikonduktor adalah asas kepada semua teras perniagaan Bosch. Kemudahan baris belakang di Pulau Pinang ini merupakan komponen utama bagi strategi pertumbuhan kami dalam sektor mobiliti sebagai maklum balas terhadap meningkatnya permintaan terhadap semikonduktor.
“Kami pilih untuk melabur di Pulau Pinang kerana tahap pengetahuan berkaitan semikonduktornya tinggi, serta adanya tenaga kerja mahir. Kedekatan dengan rakan niaga dan pelanggan juga antara kelebihan lainnya, kerana itu akan menjimatkan masa dan jarak serahan cip,” ujar wakil dari Bosch yang bertanggungjawab untuk bahagian operasi, Klaus Maeder.
Bosch dengan cara sistematik sedang memperluas aktiviti semikonduktornya di peringkat global untuk menampung permintaan terhadap cip, dengan Malaysia menjadi pemain utama dalam pasaran. “Menurut laporan berita tempatan, Malaysia merupakan satu daripada 10 pengeluar semikonduktor dan produk elektronik utama, terlibat dengan hampir tujuh peratus perdagangan semikonduktor dunia,” jelas Bosch dalam kenyataannya.
Negara ini juga menjadi hab penting bagi rantaian bekalan semikonduktor global untuk Bosch dan dianggarkan meliputi sekitar 13% pengeluaran baris belakang global. Untuk itu, pembekal teknologi dari Jerman ini berhasrat melabur sekitar 350 juta Euro (RM1.62 bilion) di tapak baru ini sehingga pertengahan 2030 nanti.
Setakat 31 Disember 2022, Pulau Pinang menjadi pilihan utama bagi kemudahan pengilangan bagi Bisch di Asia Tenggara, dengan keseluruhan 4,200 pekerja dengan nilai pelaburan hampir 86.2 juta Euro (RM400 juta).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.