Berita Triumph sedang membangunkan jentera motocross sendiri telah mula diumumkan pada tahun 2021, tetapi sekian lama, kita masih belum dapat melihat hasilnya. Sekarang, pengeluar dari United Kingdom tersebut sudah bersedia untuk menunjukkan kepada orang awam, tetapi bermula dengan video sedikit demi sedikit bahagiannya.
Video pertama ini menunjukkan bahagian casis, di mana Triumph membuat keputusan untuk menggunakan aluminium, dengan salah seorang bekas pelumba motocross yang terlibat dengan pembangunan motosikal ini menyatakan bahan itu dipilih berbanding besi kerana memberikan prestasi menyeluruh yang terbaik, termasuk untuk cengkaman, fleksibiliti, ketegaran dan stabiliti.
Motosikal ini dibangunkan oleh Triumph bermula dari kosong, mereka mahukan sesuatu yang unik tanpa meniru pengeluar lain, dan mahukan motosikal tersebut berada di tahap yang terbaik sebelum dapat didedahkan kepada orang ramai.
Kerangka motocross Triumph ini juga diberitahu dikimpal secara penuh menggunakan tangan, tanpa melibatkan robot, dan mempunyal aspek pelarasan yang luas supaya setiap motosikal dapat dilaras dan ditala mengikut kesesuaian penunggang.
Dalam masa beberapa minggu ke hadapan, Triumph akan mengeluarkan beberapa lagi video berkenaan jentera motocross baru mereka ini, dan Ricky Carmichael memberitahu ia mungkin bakal menampilkan kisah tentang enjin atau mungkin juga anda boleh melihat motosikal tersebut dibelasah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.