Berdasarkan data daripada China Passenger Car Association (CPCA), jualan kenderaan peringkat global pada Jun 2023 mencecah 7.87 juta unit, yang mewakili kenaikan 11% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu (YoY) pada Jun 2022. Daripada jumlah berkenaan, China menyumbang 33% daripada jualan kenderaan global pada Jun 2023, didorong oleh bekalan cip semikonduktor yang semakin pulih.
Pasaran automotif terbesar dunia itu turut memperkukuhkan kedudukannya bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, dengan syarikat pengeluar kenderaan dari China mencatatkan 31% perkongsian pasaran daripada keseluruhan 42.43 juta unit kenderaan yang terjual di seluruh dunia — ini juga peningkatan 11% YoY bagi tempoh sama tahun lalu.
Persatuan itu juga mendedahkan, sejak 2016 hingga 2018, jumlah jualan kenderaan di China mencecah 30% daripada keseluruhan jualan global. Ini turun kepada 29% pada 2019, tetapi naik semula kepada 32% pada 2020 dan 2021, dan kemudian menjadi 33% pada 2022.
Sepuluh pengeluar teratas bagi perkongsian pasaran global dalam tempoh separuh pertama 2023 termasuklah Toyota (12%), Volkswagen (9.6%), Hyundai/Kia (7.9%), Stellantis (7.3%), Renault/Nissan (6.7%), General Motors (6.5%), Ford (4.7%), Honda (4.3%), Suzuki (3.4%) dan Mercedes-Benz (3.1%).
Di China sahaja, Volkswagen mendahului dengan perkongsian pasaran 10.2%, diikuti BYD (9.5%), General Motors (7.3%), Changan (7.1%), Geely (6.2%), Toyota (6.1%), Chery (5.4%), SAIC (4.1%), Honda (3.9%) dan Great Wall Motor (3.9%).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.