Walau pun Malaysia kini beralih kepada pelaksanaan lesen memandu digital, namun bagi yang berhasrat untuk memandu di luar negara, sila pastikan anda mempunyai salinan dokumen fizikal untuk lesen memandu. Ini kerana lesen memandu digital mungkin tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa asing.
Peringatan ini dibuat berikutan insiden minggu lepas di mana dua rakyat Malaysia telah menerima saman trafik di Thailand kerana gagal mengemukakan salinan fizikal lesen memandu mereka kepada pihak berkuasa Thailand.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa urusan lesen memandu adalah tertakluk kepada undang-undang negara lain, laporan Bernama. Beliau yang memberikan maklumbalas mengenai perkara tersebut berkata, lesen memandu digital hanya sah diperakui di Malaysia sahaja, seperti mana yang pernah beliau katakan pada Februari lalu sewaktu mengumumkan pelaksanaan lesen memandu dan cukai jalan digital di negara ini.
Berhubung kes baru-baru ini, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak berhenti mengeluarkan salinan fizikal lesen memandu, dan ia disediakan untuk mereka yang memerlukannya. “Jika mereka ingin memandu di negara yang memerlukan lesen fizikal, mereka boleh memohon di kaunter JPJ semasa memperbaharui (lesen),” katanya.
Perlu diingat juga bahawa di Malaysia, pertukaran kepada lesen memandu digital – yang boleh dipaparkan melalui aplikasi MyJPJ – tidak dilaksanakan secara menyeluruh. Seperti yang dinyatakan pada bulan Februari, mereka yang mempunyai lesen memandu pelajar (LDL) dan lesen memandu vokasional (PSV/GDL/KON) masih memerlukan salinan fizikal lesen tersebut.
Selain itu, warga asing yang memegang lesen memandu Malaysia atau permit memandu antarabangsa (IDP) perlu membawa dokumen fizikal yang berkaitan dengan mereka apabila memandu di jalan raya di Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.