Dalam usaha memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya termasuk penunggang motosikal, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sentiasa memandang serius mengenai keperluan bagi golongan ini di lebuh raya terutamanya ketika berhadapan dengan cuaca buruk atau hujan. Oleh itu, sejak awal tahun 2000, PLUS telah mula menyediakan tempat- tempat berteduh khusus untuk penunggang motosikal.
Buat setakat ini, PLUS telah menyediakan sejumlah 214 kemudahan tempat berteduh untuk penunggang motosikal. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu 28 buah teduhan motosikal jenis Stand-alone, manakala 186 buah teduhan motosikal di bawah jambatan.
“PLUS bersedia untuk menambah 22 buah lagi tempat berteduh motosikal iaitu 6 buah daripada jenis Stand-alone dan 16 buah di Bawah Jambatan yang dijangka akan siap sepenuhnya secara berperingkat pada tahun ini sehingga suku kedua 2024,” kata Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.
Tambah beliau, selain tempat-tempat berteduh khusus ini, PLUS turut menasihatkan penunggang motosikal untuk berhenti berteduh di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau stesen minyak yang berdekatan sepanjang lebuh raya sekiranya berhadapan dengan cuaca yang terlalu buruk atau hujan yang terlalu lebat.
“Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihatkan penunggang motosikal supaya sentiasa berada di belakang rel penghadang (guardrail) di kawasan teduhan motosikal semasa berhenti untuk keselamatan mereka.
“Penunggang motosikal juga dinasihatkan untuk tidak berhenti atau berkumpul di lorong kecemasan kecuali jika berlaku kecemasan. Ini untuk mengelakkan berlakunya kemalangan atau hal-hal yang tidak dijangka,”katanya lagi.
Jelasnya, bagi lokasi di bawah jambatan yang tidak disediakan kawasan teduhan motosikal, pihak PLUS telah menyediakan papan tanda larangan ‘Dilarang berhenti kecuali kecemasan’ untuk mengelakkan penunggang motosikal berhenti di kawasan tersebut atas faktor keselamatan dan mengelakkan risiko berlakunya insiden kemalangan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.