BMW Malaysia hari ini melancarkan X6 facelift (juga dipanggil sebagai LCI atau Life Cycle Impulse) baru untuk pasaran Malaysia, dengan dijual dalam satu varian sahaja iaitu xDrive40i M Sport pada harga RM719,520. Model yang pertama kali didedahkan kepada dunia Februari lalu ini datang dengan jaminan, bantuan tepi jalan dan BMW Service Online selama dua tahun, dan jika pemilik mahukan jaminan serta pakej servis lima tahun, ia menjadi RM754,800.
Sama seperti X6 sebelum facelift, model G06 baru ini masih lagi digerakkan oleh enjin petrol enam silinder 3.0 liter turbo, tetapi ditambah dengan sistem hibrid ringkas 48 volt yang menggabungkan motor elektrik 12 PS/200 Nm ada transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuannya.
Dengan ini, kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 381 PS (375 hp atau 280 kW) dari 5,200 hingga 6,250 rpm dan tork 540 Nm dari 1,850 hingga 5,000 rpm. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 340 PS (335 hp) dan 450 Nm yang disediakan pada model sebelum facelift.
Menggunakan sistem pacuan semua roda xDrive, X6 baru ini boleh melengkapkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, (sebelum ini 5.5 saat), sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Suspensi Adaptive M diberikan secara standard, bersama brek M Sport yang mempunyai angkup berwarna biru.
Berkenaan rupa, X6 facelift ini datang dengan lampu siang berbentuk panah yang dimasukkan ke dalam lampu utama lebih nipis. Bampar M Sport di hadapan juga mempunyai bentuk berlainan, yang bukaan udaranya lebih agresif manakala bahagian belakang masih mengekalkan rekaan yang sama.
Kelengkapan luar yang diberikan sekali pada X6 xDrive40i M Sport baru ini adalah termasuk rim aloi Style 747 M 22 inci, lampu utama LED adaptif dengan bantuan lampu tinggi (sebelum ini LaserLight), pakej M Sport, kemasan Shadowline, gril Iconic Glow menyala serta bumbung panoramik kaca.
Di bahagian dalam, X6 baru ini datang dengan BMW Curved Display, yang terdiri daripada panel instrumen digital 12.3 inci serta skrin sesentuh 14.9 inci di tengah. Ia adalah sebahagian daripada sistem Live Cockpit Professional, yang turut termasuk dengan head-up display.
Sistem infotainmen dikuasakan oleh BMW Operating System 8 dan datang dengan Connected Package Professional yang memberikan sambungan melalui Android Auto dan Apple CarPlay. Ciri lain adalah termasuk ConnectedDrive Service, Remote Services, pengecas telefon tanpa wayar, lampu suasana, kawalan suhu empat zon, Comfort Access, tempat duduk hadapan larasan kuasa bersama fungsi memori untuk pemandu, BMW Digital Key serta sistem bunyi Harman Kardon.
Kabin X6 baru ini dihias dengan kemasan kayu Fineline dengan kesan berkilat, lapik bumbung anthracite serta cermin CraftedClarity. Tempat duduk pula dibalut dengan kulit Merino BMW Individual manakala roda stereng M dibalut dengan kulit.
Memenuhi senarai kelengkapannya adalah Driving Assistant Professional, yang memberikan fungsi termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist dengan bantuan stereng, Automatic Speed Limit Assist, Lane Change Assist, Front Crossing Traffic Warning, Evasion Assist, Crossroads Warning, Wrong-way Warning serta pengesan lampu trafik.
Turut diberikan adalah Parking Assistant Professional, yang menambah Reversing Assistant Professional, Active Park Distance Control, Lateral Parking Aid, kamera pandangan keliling, Remote View 3D, Automated Parking Manoeuvre dan Manoeuvring Assistant.
X6 facelift 2023 ditawarkan oleh BMW Malaysia dalam tujuh warna, iaitu M Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White, Manhattan, M Brooklyn Grey, Skyscraper Grey, dan Aventurine Red. Warna balutan kemasan dalam disediakan dalam dua warna, sama ada hitam atau Tartufo.
GALERI: BMW X6 facelift 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.