Walaupun Honda Accord generasi ke-11 tidak akan masuk ke pasaran Malaysia, di Indonesia berbeza ceritanya: sedan segmen D berkenaan baru saja diperkenalkan untuk pertama kali bagi peringkat ASEAN di pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung bermula hari ini.
Unit Accord yang dipamerkan itu menggunakan lencana RS dengan sistem janaan hibrid e:HEV yang digerakkan oleh sistem i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive). Jika mengikut spesifikasi di AS, tetapan ini menggunakan enjin 2.0 liter petrol empat-silinder sebaris dengan kitaran Atkinson yang menghasilkan 148 PS (146 hp) pada 6,100 rpm dan 182 Nm tork pada 4,500 rpm.
Enjin ini bertindak selaku generator, dengan sebuah motor elektrik yang disepadukan dalam E-CVT ia membekalkan pengecasan kepada bateri lithium-ion yang digunakan. Bateri berkenaan kemudiannya akan membekalkan kuasa kepada sebuah lagi motor elektrik dengan janaan 184 PS (181 hp) dan 335 Nm. Kunci klac juga memboleh enjin terus memacu kuasa ke roda dalam kelajuan tinggi untuk lebih cekap.
Dari segi ukuran dimensi, Accord generasi ke-11 ini mempunyai 4,970 mm panjang, 1,862 mm lebar, 1,450 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,830 mm. Berbanding model generasi ke-10 yang ada di sini, Accord baru ini 69 mm lebih panjang, dengan ukuran lain kekal sama.
Dari segi rekaan, Accord baru ini mengikut pendekatan yang dilihat pada CR-V dengan penampilan yang lebih ringkas. Gril baru kini berbentuk hexagon dan tiada lagi jalur krom bagi perincian di dalamnya, dan disertai juga oleh lampu yang lebih kurus lengkap dengan DRL.
Ada pembahagi yang jelas antara bahagian atas gril dengan bukaan di bawah. Bukaan yang sama juga lebih luas dan lebar, hadir dengan perincian aliran udara berlawanan. Bahagian belakang lebih jelas perbezaannya dengan rekaan lampu melintang yang dihubungkan oleh jalur lampu yang bertemu di logo Honda.
Di dalam, Accord baru ini sekali lagi menjadi mirip dengan CR-V dan Civic untuk rekaan kokpitnya. Corong udara pendingin diselindung di sebalik jaring mesh dalam kelebaran penuh papan pemuka. Ada juga kluster instrumen digital, skrin sentuh 12.3-inci dan kawalan fizikal untuk sistem pendingin tersebut.
Menurut pemerhatian media di Indonesia, belum ada petunjuk sahih sama ada Accord serba baru ini akan dilancarkan disana. Laporan sebelum ini menyebut model generasi ke-11 ini bukan disasarkan utnuk pasaran Asia Tenggara.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.