Perlumbaan kategori Asia Superbike 1000 dalam FIM Asia Road Racing (ARRC) yang berlangsung hujung minggu lalu di Litar Mandalika, Indonesia terpaksa dihentikan awal, hanya selepas empat pusingan kerana insiden yang melibatkan dua pelumba Malaysia, Zaqhwan Zaidi dan Kasma Daniel, serta pelumba Jepun, Haruki Noguchi.
Akibat daripada perlanggaran tiga pelumba itu di selekoh ke-10, Noguchi mengalami kecederaan yang kritikal dan kini selepas tiga hari dirawat di Hospital Nusa Tenggara Barat, beliau disahkan meninggal dunia. Noguchi berumur 22 tahun dan berlumba untuk pasukan SDG MS Harc-Pro Honda Ph menggunakan jentera CBR1000RR-R.
Pengumuman pemergian Noguchi diumumkan oleh FIM Asia beberapa jam lalu (17 Ogos) dan kenyataan rasmi yang disiarkan melalui media sosial turut menyampaikan ucapan takziah daripada FIM Asia, Two Wheels Motor Racing serta semua yang terlibat dalam kejuaraan ARRC kepada keluarga serta rakan Noguchi.
Turut menyatakan rasa sedih adalah Zaqhwan, yang menyatakan bahawa Noguchi adalah antara saingan terhebat beliau di dalam litar. “Saya rasa berbangga dan gembira pernah berlumba dengan awak dan saya akan merindui pertarungan antara kita di dalam litar. Memori dengan awak tidak akan dilupakan. Selamat tinggal Haruki, moga awak tenang di sana,” kata Zaqhwan di media sosial.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.