Selepas dikuatkuasakan pada 1 Julai lalu, kini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bakal mengambil tindakan terhadap pengusaha-pengusaha bengkel yang gagal untuk mempamerkan senarai nama mekanik dan juga kelayakan masing-masing di premis mereka.
Dalam laporan The Star, Pengarah Penguatkuasa kementerian tersebut Datuk Azman Adam menegaskan bahawa pengusaha-pengusaha bengkel ini telah diberi masa yang cukup selama setahun bagi bersedia dengan penguatkuasaan baharu ini.
Menurutnya pengusaha-pengusaha bengkel yang gagal mematuhi undang-undang ini akan dikenakan penalti di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dengan denda sebanyak RM100,000 untuk syarikat dan RM50,000 untuk individu, atau penjara selama tiga-tahun, sekiranya didapati bersalah.
“Buat masa ini, bengkel yang diperiksa oleh unit penguat kuasa kementerian akan dinasihatkan supaya mematuhi peraturan itu. Kami akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa. Kegagalan mematuhi akan dikenakan penalti,” kata Azman.
Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah diwartakan pada 22 Jun 2022, manakala perlaksanaannya dirancang akan bermula pada 1 Julai tahun yang sama. Walau bagaimanapun penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan sebelum penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.
Menurut Azman lagi, Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 bukan hanya untk menggalakkan pengusaha-pengusaha bengkel untuk menggajikan mekanik yang berkelayakan dan meningkatkan kemahiran mereka, malah turut membolehkan pelanggan memastikan kenderaan mereka diselenggara oleh mekanik yang berkelayakan.
“Secara tidak langsung ini akan meningkatkan kualiti servis yang diberikan dalam masa yang sama meningkatkan produktiviti perniagaan”, jelasnya.
Selain dari memaparkan nama dan kelayakan mekanik yang berkerja, pengendali bengkel turut perlu menyatakan dengan jelas sama ada alat ganti yang ditawarkan adalah baharu, terpakai atau direstorasi; menyediakan dokumen bertulis sama ada diberikan jaminan untuk alat ganti yang digunakan; serta perlu dinyatakan sama ada jaminan diberikan untuk kerja-kerja baik pulih yang dibuat oleh bengkel.
Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) Prof Dr Wong Shaw Voon pula memberitahu The Star langkah ini adalah untuk memastikan akauntabiliti dari bengkel.
“Jika bengkel tidak melakukan kerja yang betul, sekurang-kurangnya akan ada mekanisma dan saluran untuk orang ramai mengambil tindakan. Juga adalah penting untuk membuat kerja yang betul bagi mengelakkan sebarang perkara yang tragik dari berlaku, yang boleh menyebabkan kehilangan harta benda atau nyawa,” katanya.
“Pada masa lalu, orang ramai mungkin terpaksa bergantung kepada rujukan untuk mengetahui mekanik mana yang mampu melakukan pembaikan atau kerja-kerja yang diperlukan, tidak kira sama ada mereka mempunyai pensijilan atau tidak. Mereka akan bimbang tentang keselamatan kenderaan mereka dari segi penyelenggaraan dan kesediaan berikutan kerja yang dilakukan ke atas kereta mereka. Dengan mekanik yang bertauliah dan berkelayakan akan menimbulkan keyakinan di kalangan pemilik kenderaan dan mereka dapat memastikan kecekapan kerja yang dibuat pada kenderaan mereka,” tambahnya.
Wong turut menegaskan bahawa bengkel perlu memaklumkan kepada pelanggan tentang jenis alat ganti yang digunakan. “Apa sahaja alat ganti yang dimasukkan mesti direkodkan. Jika ia digunakan, ia mesti dicaj sewajarnya dan bukan sebagai item baharu. Bukannya alat ganti terpakai tidak boleh digunakan, tetapi tidak adil untuk pengguna membayarnya seolah-olah ia baru,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.