Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (National Energy Transition Roadmap, NETR) yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah satu usaha untuk menetapkan komitmen Malaysia terhadap aspirasi untuk mencapai sifar pembebasan gas rumah hijau seawal tahun 2050.
Bagi yang yang berkaitan sektor automotif dan pengangkutan awam, NETR bertujuan untuk menggariskan sasaran kebangsaan menurut pelan mobiliti rendah karbon (LCMB) dan dasar tenaga kebangsaan (DTN). Sebelum ini, sasaran kebangsaan adalah untuk mencapai kadar 15% jumlah pengeluaran industri (TIV) bagi kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030 dan 38% TIV menjelang 2040.
NETR dihasratkan untuk memperluas penembusan penggunaan kenderaan elektrik dua dan empat-roda di negara ini, dengan 50% sasaran berkenaan diharap dapat dicapai menjelang tahun 2040. Menjelang 2050 pula, Malaysia ingin mencapai TIV sebanyak 80% bagi semua jenis EV dalam kategori ini masing-masing.
Malaysia juga mensasarkan untuk mempunyai tapak pengeluaran EV tempatan yang kukuh dengan 90% daripada pengeluarannya dilakukan di sini, serta perkongsian modal pengangkutan awam sebanyak 60% ketika itu nanti. Menariknya, pelan hala tuju berkenaan juga menyatakan, satu daripada sasarannya adalah untuk mencapai penambahbaikan berterusan dalam penjimatan bahan api bagi enjin pembakaran dalaman (ICE).
Ini akan dicapai dengan cara Kementerian Pengangkutan memperkenalkan kaedah mapan untuk menilai kadar penggunaan bahan api dengan memperkukuh kaedah dasar fiskal yang berasaskan penjimatan bahan api tersebut. Inisiatif selanjutnya adalah untuk menentukan standard penjimatan bahan api bagi jangka masa panjang.
Bagi kenderaan elektrikfikasi empat-roda — dengan usaha dan langkah yang diambil oleh MITI — adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi penembusan penggunaan EV dan dalam masa sama turut melibatkan usaha seperti menambah kemudahan pengecasan (yang memberi perhatian terhadap peraturan dan hak pengecasan, proses kelulusan untuk pengendali stesen pengecasan serta penilaian semula peraturan berkaitan bangunan).
NETR juga merancang untuk meneruskan usaha pendanaan bersama bagi kemudahan pengecasan awam dan menyaksikan pelaksanaan standard emisi yang lebih ketat untuk menghadkan pengilangan kenderaan tidak cekap tenaga (EEV). Sebagai tambahan, MITI juga akan mengenal pasti peluang lokalisasi utama dalam EV dan memberi insentif terhadap pelaburan bagi mewujudkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran tempatan.
Bagi EV dua-roda pula, NETR menggariskan rancangan untuk memberi insentif kepada pembelian kenderaan EV jenis itu atau kos sewaannya bagi mempercepat penerapan kos pemilikannya agar menjadi setara dengan kenderaan petrol dua-roda bagi isi rumah B40. Kemudahan pengecasan bagi EV dua-roda juga akan dibangunkan, dan standard pengecasan bateri diwujudkan bagi kedua-dua kegunaan awam dan persendirian.
Sementara itu, rancangan untuk pengangkutan awam pula adalah untuk meneruskan pembangunan kemudahan dan memudahcara proses elektrifikasinya, dengan matlamat untuk meningkatkan perkongsian modalnya kepada 40% menjelang 2040 dan 60% menjelang 2050.
Pelan hala tuju ini mengesahkan bahawa peralihan kepada mobiliti hijau dan bersih mempunyai cabarannya yang tersendiri ketika ini, dan ini termasuklah kekurangan model EV mampu milik dan kadar perluasan liputan bagi kemudahan pengecasan yang perlahan. Untuk motosikal, jurang antara kos EV dua-roda dengan model petrol biasa menjadi kekangan yang melambatkan peralihan tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.