Selepas EQA, Mercedes-Benz kini memberikan peningkatan kepada EQB pula dan ia akan dijual di Eropah bermula awal tahun hadapan. Perubahan yang diberi kepada SUV dengan pilihan tempat duduk tiga baris ini adalah sama seperti EQA yang lebih kecil, bermula dengan muka yang kini dilengkapi panel hitam dengan corak logo bintang Mercedes-Benz kecil di seluruh permukaannya.
Panel ini datang secara standard dalam warna hitam, tetapi pelanggan juga boleh mendapatkannya dalam warna krom dengan kemasan Electric Art atau AMG Line – melalui Night Package, panel ini berwarna hitam. Bampar juga mempunyai kemasan hitam di bahagian lampu kabus, sementara lampu belakang pula menerima bentuk pencahayaan baru. Rekaan rim juga adalah baru.
Di bahagian dalam, perubahan yang diberi termasuk roda stereng dengan panel kawalan sesentuh, kemasan kayu, serta corak Mercedes-Benz yang boleh menyala (pilihan tambahan). EQB juga sekarang datang terus dengan skrin sesentuh 10.25 inci di tengah dan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang dikemas kini.
Ruang simpanan di belakang masih lagi kekal antara 495 hingga 1,710 liter bagi versi lima tempat duduk, sementara versi tujuh tempat duduk menawarkan 465 hingga 1,620 liter. Penyandar tempat duduk baris kedua boleh dilaras pada beberapa kedudukan dan ia boleh dilungsur sehingga 140 mm untuk memberi lebih ruang kaki.
Pilihan bagi SUV ini bermula dengan varian asas EQB250+ yang datang dengan motor elektrik di hadapan berkuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan tork 385 Nm. Sumber kuasanya datang daripada bateri lithium ion 70.5 kWh, dan boleh memberikan jarak gerak antara 463 ke 536 km.
Di atasnya terdapat EQB300 4Matic yang ditambah dengan satu lagi motor elektrik di belakang, menjadikan kuasa keseluruhannya 228 PS (225 hp atau 168 kW) dan tork 390 Nm. Satu lagi pilihan adalah EQB350 4Matic, yang datang dengan kuasa 292 PS (288 hp atau 215 kW) dan tork 520 Nm – varian inilah yang dijual di Malaysia.
Model 4Matic mempunyai kapasiti boleh guna bateri yang lebih rendah, iaitu 66.5 kWh, menjadikan jarak geraknya antara 396-448 km. Beberapa perubahan kecil pada bahagian aerodinamik dan rintangan tayar turut memberi sumbangan kepada catatan jarak gerak yang lebih baik ini. Kapasiti mengecas semua varian adalah sama, iaitu sehingga 11 kW AC dan 100 kW DC.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.