Toyota telah mengeluarkan teaser awal untuk SUV terbarunya yang bakal dilancarkan secara rasmi esok, iaitu Toyota Century. Ini adalah susulan daripada iklan teaser pertama yang menunjukkan bahagian belakang model berkenaan ketika ia pertama kali diumumkan sebelum ini.
Walaupun masih belum dapat dipastikan sama ada model SUV baru ini akan menggunakan nama Century, logo Rajawali emas yang kelihatan di depan seperti mengesahkan yang ia memang akan menggunakan nama tersebut. Toyota telah menjadikan model Crown sebagai salah satu nama modelnya, dan kemungkinan Century akan mengikut langkah yang sama.
Logo berkenaan diletakkan di dalam gril petak dengan bingkai tebal serta perincian dalaman yang menampilkan corak khasnya. Gril tersebut juga agak ke depan, dan diapit oleh lampu utama LED dengan corak J khas di dalamnya, sama seperti yang pernah dilihat untuk bahagian belakangnya.
Berdasarkan teaser terdahulu, SUV Century ini akan hadir dengan rekaan luaran badan berpetak yang mirip Rolls-Royce Cullinan. Juga masih belum diketahui platform apa yang akan digunakan oleh model ini, tetapi ada laporan yang mencadangkan ia mungkin memanfaatkan versi platform GA-K atau GA-L dari Toyota New Global Architecture (TNGA).
Nama Century ketika ini digunakan untuk sebuah sedan — G60 generasi ketiga — yang diperkenalkan pada 2018 dan dikuasakan oleh enjin 2UR-FSE 5.0 liter V8 dengan output keseluruhan sistemnya ialah 431 PS (425 hp atau 317 kW).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.