Toyota telahpun mendedahkan model Century yang kini tampil sebagai SUV, walaupun tidak dinyatakan secara jelas dalam hebahan media rasminya. Ia kini sudah dibuka untuk tempahan di Jepun sebelum tarikh pelancaran rasminya, tahun ini juga.
Century SUV ini tidak menggantikan sedan Century generasi ketiga yang diperkenalkan pada 2018, kerana sedan berkenaan akan terus ditawarkan kepada pelanggan. Untuk harga, Century SUV ini dijual dengan harga 25 juta yen (RM792,041), lebih mahal daripada model sedan (20.08 juta yen; RM636,168).
Model terbaru ini dibangun menggunakan Toyota New Global Architecture (TNGA) yang lebih tahan dan memberikan lebih keselesaan. Ia turut datang dengan ciri yang dipanggil “struktur berasingan bahagian barangan”.
Ia juga menampilkan penggunaan kaca tebat bunyi untuk sisi kabin, sementara pemisah ruang barangan juga ada untuk mengasingkan bahagian kabin daripada ruangan kargo. Ini memberikan ruang privasi dan memberikan kesenyapan menakjubkan yang sering diinginkan untuk kenderaan seperti ini.
Sekadar perbandingan, ukuran dimensi Toyota Century SUV ialah 5,205 mm panjang, 1,990 mm lebar, 1,805 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,950 mm. Century sedan pula berukuran 5,335 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,505 mm tinggi dan jarak antara roda 3,090 mm.
Century SUV ini menerapkan rekaan kotak untuk profil umumnya, yang menyerupai Rolls-Royce Cullinan. Pendekatan rekaan dari versi sedan turut kelihatan untuk SUV ini, termasuk bentuk gril depannya, tulisan Century di belakang serta hiasan Rajawali yang ada.
Kemewahan memang terserlah untuk SUV ini, dengan sebahagian permukaannya tampil sangat berkilau seperti cermin. Panel pintu juga diberikan sentuhan halus untuk menjadikan aliran visual yang terhasil begitu lancar.
Wajah depan Century SUV dibezakan dari model sedan melalui tiga bukaan udara besar di bahagian apron bawah, sementara lampu utama yang terpisah mempunyai dua elemen lampu dalam setiap klusternya — pendekatan yang sama digunakan untuk lampu bahagian belakang. Saiz roda standardnya ialah 20-inci, dengan unit 22-inci ditawarkan sebagai pilihan. Pelanggan perlu berurusan dengan Century Meister untuk membuat pilihan tersendiri mengikut citarasa masing-masing bagi Century SUV mereka.
Ruangan dalamannya yang paling penting dan menarik. Pintu belakang boleh dibuka seluas 75-darjah dengan kehadiran pemijak sisi juga. Untuk memudahkan keluar-masuk ke kabinnya, ada pemegang disediakan di bahagian tiang C.
Tidak seperti model sedan yang mempunyai lima-tempat duduk, versi SUV ini hadir dengan hanya empat-tempat duduk, dengan ruang penumpang belakang lengkap dipasang kaca panoramik besar dan dua kerusi berasingan yang dipisahkan oleh konsol tengah yang tinggi.
Kerusi di belakang penumpang depan juga boleh direbahkan sepenuhnya untuk memberikan pengalaman kabin ala pesawat, dengan sistem lampu suasana dan paparan skrin sentuh. Century SUV ini juga hadir dengan banyak butang kawalan fizikal, misalnya untuk sistem pendingin, larasan kerusi dan fungsi lain, dan bukan semuanya tertumpu hanya di dalam fungsi skrin sentuh sahaja.
Lencana Rajawali di stereng juga menarik, disertai juga dengan kluster instrumen digital yang turut memberi maklumat berkaitan sistem janaan plug-in hybrid-nya. Century SUV ini merupakan model PHEV, dengan tetapan yang sama pernah dilihat pada Lexus TX 550h+, dan bukannya sama seperti Century sedan yang dilengkapi enjin 5.0 liter V8 dengan elektrifikasi.
Sistem ini menawarkan kuasa keseluruhan sebanyak 412 PS (406 hp atau 303 kW), yang juga lebih besar berbanding yang diberikan oleh unit V8. Ia terdiri daripada unit enjin 2GR-FXS 3.5 liter NA V6 yang digandingkan dengan E-CVT dan motor elektrik, dilengkapi juga dengan sistem pacuan semua roda E-Four yang turut memanfaatkan sebuah motor elektrik di gandar belakang.
Antara ciri lain yang turut ada ialah Dynamic Rear Steering (stereng roda belakang) untuk memudahkan kawalan, sementara mod Rear Comfort membolehkan pemandu memastikan penumpang dibelakang sentiasa selesa dengan cara mengurangkan goyangan ketika kenderaan ingin berhenti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.