Hujung bulan lalu Toyota terpaksa memberhentikan operasi kesemua 28 barisan produksinya di 14 kilang pemasangan di Jepun, dengan khabar angin menyatakan bahawa fasiliti gergasi automotif it sekali lagi mengalami serangan siber.
Namun menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini, Toyota menyatakan bahawa insiden itu terjadi kerana sistem pesanan produksinya yang gagal berfungsi akibat kekurangan ruang storan cakera dalam pelayan.
“Kegagalan fungsi sistem ini adalah disebabkan beberapa pelayar yang memproses pesanan komponen tidak dapat digunakan. Ia terjadi selepas kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat pada 27 Ogos, sehari sebelum kegagalan fungsi ini berlaku.
“Ketika prosedur penyelenggaraan dibuat, data yang telah terkumpul dalam pangkalan data telah dipadamkan dan disusun, dan ralat berlaku disebabkan ruang cakera yang tidak mencukupi, menyebabkan sistem terhenti. Memandangkan pelayan ini berjalan pada sistem yang sama, kegagalan serupa berlaku dalam fungsi sandaran, dan pertukaran tidak dapat dibuat,” kata Toyota dalam kenyataan itu.
Sistem ini dapat berjalan semula selepas Toyota memindahkan data kepada pelayan dengan kapasiti lebih besar pada 29 Ogos, manakala semua kilang dapat beroperasi semula pada hari berikutnya iaitu 30 Ogos. Syarikat itu juga telah membuat langkah-langkah pencegahan dengan meniru serta menilai situasi tersebut.
Dalam kenyataan ini Toyota turut membuat permohonan maaf kepada pelanggan, pembekal serta pihak-pihak lain yang terjejas atas insiden ini serta turut menyatakan akan mengkaji semula prosedur penyelenggaraan sedia ada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.