Gentari telah melebarkan rangkaian stesen pengecas EV kendaliannya dengan pengenalan stesen pengecas EV pertama di Sarawak dengan kerjasama Sarawak Energy. Kemudahan itu terletak di ICOM Square di Kuching, Sarawak.
Stesen pengecasan EV itu terletak di lokasi tumpuan semasa di mana pengguna mempunyai akses ke pusat beli-belah, restoran dan bangunan pejabat. Ia menyediakan tiga kemudahan pengecas, dengan dua daripadanya membekalkan kadar pengecasan sehingga 180 kW DC, menjadikannya kemudahan pengecasan yang terpantas dengan kapasiti paling besar bagi pengecas awam yang ada di Borneo ketika ini.
Akses kepada stesen ini adalah 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan akan memulakan tempoh percubaannya sepanjang September. Melalui rangkaian EV Gentari, pengguna EV di Kuching juga boleh memanfaatkan rangkaian Gentari yang lain, yang terdiri daripada 600 kemudahan pengecasaan di seluruh negara melalui aplikasi Setel dan JomCharge.
“Pengenalan ini, yang pertama daripada banyak lagi di masa hadapan, membuktikan perkembangan penting di sini berkaitan rangkaian EV. Dengan memperkenalkan keupayaan pengecasan pantas 24/7, kami tidak hanya memberikan keyakinan berkaitan jarak perjalanan, tetpai juga memudahkan peralihan kepada EV untuk mereka yang mahu,” ujar Timbalan CEO Gentari, Shah Yang Razalli.
“Sebagai penyedia tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia, kami komited dalam usaha elektrifikasi ini. Ini juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 negeri Sarawak melalui sokongannya untuk menyah-karbon sektor pengangkutan,” jelas CEO Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Haji Sharbini Suhaili.
Jun lalu, Gentari dan Sarawak Energy menandatangani persetujuan kerjasama strategik untuk meningkatkan penggunaan EV di Sarawak melalui pembinaan rangakain pengecas EV yang menyeluruh di negari itu, dengan matlamat untuk mempromosi penyelesaian mobiliti hijau serta menggalakkan pengangkutan rendah karbon di Sarawak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.