Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke umumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat tuduhan salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pendaftaran nombor plat bagi kenderaan klasik. Ini adalah susulan daripada pendedahan aktiviti berkenaan oleh kumpulan Edisi Siasat dalam aplikasi Telegram, yang mendakwa nombor pendaftaran klasik berkenaan telah dihidupkan semula dan dan dijual dengan harga ratusan ribu ringgit, seperti dilaporkan oleh Bernama.
Dokumen setebal 28-muka surat itu, yang turut dikenali sebagai “Kertas JPJandora”, telah disertakan, mengandungi senarai nombor pendaftaran sejak tahun 2007 dan mengikut negeri, yang didakwa telah dihidupkan semula dan didaftarkan untuk pemilikan. Hantaran itu mendakwa, ia dijual dengan harga yang sangat tinggi, sama ada untuk individu atau syarikat, dan didalangi oleh pegawai JPJ sendiri.
Loke berkata beliau telah memberi penekanan terhadap perkara itu selepas mesyuarat kabinet dan memaklumkan bahawa pasukan khas yang terdiri daripada ahli dari unit integriti Kementerian Pengangkutan, akan menyiasat tuduhan tersebut dan mencadangkan penambahbaikan untuk lebih telus bagi proses pendaftaran nombor plat kenderaan klasik.
Beliau menambah, pasukan khas itu juga akan memerlukan penglibatan penuh JPJ, memandangkan jabatan itu mempunyai maklumat dan capaian terhadap pertuduhan salah laku yang sedang disiasat itu. “Sudah tentu, penglibatan JPJ dalam pasukan khas itu sangat diperlukan, kerana mereka ada maklumat, data dan sebagainya. Jika tanpa penglibatan JPJ, bagaimana untuk kami akses maklumat berkaitan,” jelasnya.
Beliau menambah, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagus Taha, yang telah dinamakan untuk menyertai pasukan khas itu, baru saja dilantik ke jawatan berkenaan pada 19 Jun lalu, dan tidak mempunyai kepentingan di dalam perkara yang disiasat ini. “KP JPJ yang ada ini masih baru, sedangkan masalah yang sedang disiasat ini bermula sejak 2016,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.