Sistem pendawaian elektrik didapati menjadi antara punca utama kes kenderaan terbakar, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor. Berdasarkan statistik, pihak Bomba Selangor telah mencatatkan sebanyak 632 kes kenderaan terbakar di negeri ini, antara Januari hingga 12 September 2023, dengan 70% daripadanya berpunca daripada sistem pendawaian elektrik.
Menurut Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 12 kes menyebabkan kecederaan, manakala empat kes kematian dilaporkan.
“Setakat semalam, terdapat 632 kes yang diterima JBPM Negeri Selangor dan sepanjang tahun lalu pula sebanyak 947 kes. Kesemua kes ini, bomba menjalankan operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran. Hasil penyiasatan JBPM Selangor, kebanyakan kes iaitu 70% kebakaran kenderaan adalah berpunca daripada sistem pendawaian elektrik,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.
Justeru, bomba menasihatkan pemilik kenderaan agar memastikan setiap sambungan pendawaian dan pertambahan aksesori kenderaan dilaksanakan oleh pihak yang bertauliah dan berkelayakan.m Selain itu, pemilik kenderaan diingatkan supaya melakukan penyelenggaraan kenderaan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Jangan merokok di dalam kenderaan kerana ia boleh menyebabkan berlaku kebakaran memandangkan bahan di dalam kereta mengandungi bahan mudah terbakar. Sediakan alat pemadam yang bersesuaian di dalam kenderaan serta elakkan pemasangan aksesori tambahan yang berlebihan. Elakkan meletak bahan yang mudah terbakar di dalam kenderaan, contohnya barangan elektrik (seperti power bank), tin aerosol dan pemetik api,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.