BMW Malaysia meraikan kedudukannya sebagai peneraju utama bagi segmen kenderaan premium EV untuk pasaran tempatan, sebuah pencapaian penting untuk jenama itu di sini. Ini berikutan kejayaan BMW merekodkan serahan EV — dari barisan kenderaan BMW, MINI & BMW Motorrad — yang mencecah angka lebih daripada 1,600 unit bagi tempoh hanya lapan bulan pertama 2023.
Angka tersebut melangkaui jumlah 1,557 unit EV yang diserahkan bagi tempoh keseluruhan tahun 2022. Dengan pencapaian ini, BMW terus memacu slogan “Sheer Electric Driving Pleasure” melalui komitmen terhadap perluasan penggunaan EV di negara ini, serta memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai pengeluar kenderaan premium No. 1 di Malaysia bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser memaklumkan: “Menunjangi visi kami ke atas Alaf Elektrik Baharu adalah komitmen kami terhadap memperluas capaian kenderaan elektrifikasi dan ingin mencorak semula mobiliti masa hadapan, yang mempertemukan aspek kelestarian, kemewahan dan inovasi.
“Dalam era yang berada di ambang perubahan, kami teruja untuk menjadi pelopor usaha anjakan elektrifikasi di Malaysia, yang turut dibantu oleh pelanggan, wakil pengedar serta rakan kongsi kami yang lain. Pencapaian ini juga mengiktiraf kedudukan semasa BMW di negara ini, bukan hanya dalam segmen EV premium, tapi juga seluruh ekosistem EV di negara ini.”
BMW Malaysia turut meraikan pencapaian ini dengan pameran khas Forwardism yang turut memperkenalkan secara rasmi model BMW i7 2023 untuk pasaran tempatan, dengan harga RM729,800. Pameran Forwardism by BMW akan berlangsung hujung minggu ini (23 dan 24 September) dan terbuka untuk pengunjung yang berdaftar di parkir perkarangan Mandarin Oriental Kuala Lumpur, dari 10 pagi hingga 10 malam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.