CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat infrastruktur tenaga dan teknologi global, Yinson Holdings Berhad untuk pembangunan infrastruktur dan servis kenderaan elektrik untuk pengguna Malaysia.
Memorandum persefahaman kerjasama ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan sewaktu pameran EVM Asia 2023 sambil disaksikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Melalui kerjasama ini, Yinson akan dapat memanfaatkan rangkaian 4G LTE dan 5G CelcomDigi, untuk memberi kuasa kepada sistem ketersambungan pengendali tempat mengecas terbesar negara, chargEV serta rangkaian eMobility rydeEV dan drivEV.
Sebagai tambahan, kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama untuk meneroka cara inovatif baru yang dapat membenarkan pelanggan terus berhubung sambil menikmati akses harian yang lebih mudah untuk servis yang mesra alam dan berteknologi seperti motosikal elektrik, kenderaan elektrik lain, stesen pengecas serta integrasi infrastruktur solar.
“Bersama-sama, kami harap dapat meletakkan solusi pengangkutan yang bersih dan berintegrasi kepada pengguna Malaysia, sambil meletakkan kita semakin hampir untuk mencapai sasaran yang diletakkan oleh kerajaan,” kata Yuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.