Sebanyak 14,527 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal warga asing di seluruh negara atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal 2023 bermula 1 hingga 20 September 2023, menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Datuk Lokman Jamaan.
Katanya lagi, kesalahan utama yang dikesan adalah tiada lesen memandu dengan 6,268 saman, tiada perlindungan insurans (2,667), lesen kenderaan motor tamat tempoh (2,657) dan lain-lain kesalahan teknikal 1,948 saman, laporan Bernama.
“JPJ memandang serius isu ini terutamanya warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah kerana mereka jelas tidak mengetahui peraturan jalan raya dan boleh mendatangkan bahaya terhadap pengguna jalan raya yang lain.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan tindakan tegas akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya selepas operasi bersepadu di Bangsar pada malam Ahad lalu.
Menerusi operasi selama empat jam itu, sebanyak 1,459 kenderaan diperiksa dengan 854 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya memandu tanpa lesen (327), lesen kenderaan motor tamat tempoh (143), insurans tamat tempoh (123) dan nombor pendaftaran (80). Selain itu, 98 saman dikeluarkan bagi kesalahan cermin gelap, kesalahan teknikal (36), ekzos (18), penggunaan lampu HID (empat) dan lain-lain kesalahan (25).
“Kita turut menyita 21 motosikal dengan 17 daripadanya ditunggang oleh warga asing. Warga asing yang ditahan itu diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya
Operasi tersebut mendapat kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.