Setiap kali berlakunya kemalangan maut membabitkan kenderaan berat, pasti ada sahaja yang menuding jari kepada penguatkuasaan lemah dari agensi-agensi kerajaan yang terlibat, khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Namun perkara ini disangkal oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menafikan bahawa jabatan tersebut tidak bertindak tegas terhadap pemandu lori dan treler yang melakukan kesalahan hingga sering menyebabkan kemalangan. Dalam laporan Berita Harian, Loke menegaskan bahawa JPJ telah bertindak cukup tegas bukan sahaja terhadap kenderaan berat dan lori yang membawa muatan secara berlebihan, malah kepada kenderaan lain.
“Tidak benar bahawa JPJ tidak tegas atau bersikap tolak ansur terhadap pemandu lori dan treler. Tindakan penguatkuasaan tegas sentiasa diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan jalan raya.
“Malah, ada pihak yang membuat aduan bahawa kita mengambil tindakan yang terlalu ketat termasuk penyitaan, pembatalan lesen, lucuthak dan sebagainya,” kata Loke.
Menurutnya lagi tindakan-tindakan penguatkuasaan tersebut perlu diambil oleh JPJ supaya ia memberi mesej kepada semua pihak terutama pengusaha mematuhi peraturan jalan raya.
“Jadi, JPJ sememangnya bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang jalan raya sedia ada, namun perkara ini bukan mudah untuk diselesaikan.
“Kita juga tahu kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan yang sering berlaku membabitkan kenderaan berat atau lori,” tegas menteri itu lagi.
Beliau juga berkata memang akan ada reaksi daripada pelbagai pihak apabila berlaku sesuatu kemalangan termasuk mendakwa penguat kuasa tidak bertindak tegas. “(Dakwaan) itu tidak betul, undang-undang kita yang sedia ada cukup tegas,” katanya.
Walau bagaimanapun Loke memaklumkan pihaknya kini sedang merancang mengambil pendekatan secara menyeluruh untuk memastikan ada keseimbangan daripada segi keperluan industri dan keselamatan jalan raya. Perkara itu kini dalam peringkat sedang direncanakan dan perbincangan lanjut akan dilakukan dalam usaha mengatasi masalah berkenaan dengan lebih menyeluruh serta komprehensif.
“Namun, pada masa sama tindakan penguatkuasaan akan berterusan. JPJ tidak pernah berhenti daripada segi penguatkuasaan dan saya tidak pernah minta mereka berhenti untuk jalankan penguatkuasaan.
“Apapun, saya akan berbincang dengan JPJ untuk melihat bagaimana kita boleh buat penguatkuasaan yang lebih efektif lagi,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.