Perdana Menteri Thailand yang baru dilantik, Srettha Thavisin dilaporkan berjumpa dengan CEO Tesla Elon Musk ketika kunjungannya ke New York baru-baru ini. Menurut Reuters, Srettha ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kesempatan berjumpa dengan Musk digunakan untuk berbincang berkenaan industri kenderaan elektrtik (EV).
Dalam laporan berasingan agensi berita itu menyatakan bahawa Thailand bakal menerima pelaburan sekurang-kurangnya US$5 bilion (RM23.4 bilion) dari syarikat-syarikat termasuk Tesla, Google dan Microsoft.
“Tesla akan meneliti kemudahan pembuatan EV, [sementara] Microsoft dan Google sedang mencari tempat untuk pusat data,” kata Srettha menerusi akaun X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) miliknya, namun ia tidak diperincikan sama ada jumlah tersebut adalah keseluruhan pelaburan yang akan dibuat atau pelaburan berasingan dari setiap syarikat.
Buat masa sekarang Thailand telah menawarkan insentif kepada pengeluar kenderaan elektrik dan pengeluar bateri EV serta pemotongan cukai kepada pembeli EV tempatan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab automotif serantau, lapor Reuters.
Disember lalu, Tesla secara rasmi telah masuk ke pasaran Thailand dengan pelancaran Model 3 dan Model Y ke negara tersebut dengan jaringan stesen pengecas Supercharger Tesla di Thailand pula dijadualkan akan mula beroperasi pada Februari tahun ini.
Tesla juga secara rasmi telah masuk ke pasaran Malaysia dengan pelancaran Tesla Model Y pada Julai lalu, dan turut telah memperincikan pelan pembangunannya di sini. Ibu pejabatnya akan beroperasi di Cyberjaya, dan ia akan menjadi hab pusat bagi operasi korporat, pemasaran, latihan dan aktiviti sokongan pelanggan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.