Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM302.43 juta melalui 1.9 juta saman trafik yang dikeluarkan di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023.
Ia menunjukkan peningkatan hampir sekali ganda berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022, di mana RM127.8 juta dikutip, laporan New Strait Times.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim, berkata jumlah itu sekaligus menjadikan JSPT sebagai jabatan dalam PDRM yang menjadi penyumbang tertinggi kepada Perbendaharaan Negara.
“Untuk tempoh sama pada tahun lalu, kita berjaya mengutip kompaun saman sebanyak RM127.82 juta dan tahun ini, jumlah itu meningkat kepada RM302.43 juta. Jumlah kutipan kompaun saman yang tinggi pada tahun ini ada kaitan dengan peningkatan penggunaan aplikasi MyBayar Saman, yang memudahkan orang ramai membayar saman,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman semalam.
Tambah beliau, untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu, jumlah kutipan kompaun saman menerusi MyBayar Saman adalah sebanyak RM37.5 juta membabitkan 207,217 saman. Untuk tempoh sama tahun ini pula, sebanyak RM169.28 juta kompaun saman membabitkan 2.4 juta saman dibayar orang ramai menggunakan aplikasi MyBayar Saman.
Mengulas lanjut, beliau berkata orang ramai kini lebih menghargai kemudahan pembayaran saman secara tanpa tunai atau cashless melalui aplikasi berkenaan dan tidak perlu beratur di kaunter.
“Peningkatan jumlah kutipan kompaun saman pada tahun ini juga hasil daripada keprihatinan kerajaan sekarang yang memohon PDRM menawarkan pengurangan bayaran saman sehingga 50% secara tanpa tunai.
“Baru-baru ini kerajaan menyarankan seberapa boleh agensi kerajaan yang melibatkan pembayaran perlulah dikurangkan menggunakan konsep cashless ataupun tanpa tunai. Jadi pihak JSPT menyambut saranan kerajaan yang mana kita menggunakan kita punya aplikasi MyBayar Saman,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Selain itu juga, JSPT telah membuka 42 kaunter diskaun saman sepanjang Januari hingga Ogos lalu selain promosi-promosi pengurangan bayaran saman yang lain.
Mat Kassim berkata untuk tempoh tahun lalu, seramai 1.33 juta pengguna direkodkan menggunakan aplikasi itu untuk membayar saman, dan untuk tempoh Januari hingga Ogos lalu, terdapat seramai 1.106 juta menggunakan aplikasi itu bagi tujuan sama.
“Setakat ini terdapat 5.59 juta pengguna individu berdaftar untuk aplikasi MyBayar, dan selebihnya adalah syarikat (81,838) dan agensi kerajaan (58) menjadikan jumlah keseluruhan 5.67 juta pengguna.
“Konsep MyBayar Saman akan ditambah baik dan diperluaskan lagi, dan kita berharap dalam tempoh tiga tahun akan datang kita dapat kurangkan ataupun kita tidak perlu lagi menggunakan kaunter saman. Dengan cara itu, anggota yang bertugas di setiap kaunter pembayaran saman dalam antara tiga hingga lima orang dapat digunakan sepenuh di lapangan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.