Tahun ini, Tokyo Motor Show dinamakan semula sebagai Japan Mobility Show dan ia akan berlangsung dari 25 Oktober hingga 5 November 2023. Kehangatan terhadap antara acara automotif terbesar di Jepun ini mula terasa apabila Honda menjadi antara yang terawal mengumumkan barisan kenderaan yang akan dipamer.
Membawa konsep “Honda Dream Loop”, kawasan pameran Honda bukan setakat akan dipenuhi dengan kereta dan motosikal, tetapi juga penggerak jenis lain, kapal udara serta produk teknologi. Walaupun begitu, apa yang lebih menjadi perhatian adalah beberapa kereta dan motosikal konsep baru yang akan membuat penampilan pertama di sana.
Sebagai permulaan, sepasang kereta dan motosikal yang dinamakan sebagai SUSTAINA-C Concept dan Pocket Concept. Kedua-duanya dibuat dengan bahan yang dikitar semula dan mahu menunjukkan konsep yang mampu mencapai kelestarian persekitaran, sambil memberikan keseronokan serta kebebasan bergerak pada masa hadapan.
Satu lagi motosikal konsep, iaitu SC e:Concept nampak seperti sudah sedia untuk memasuki pasaran. Selain bentuk, Honda tidak mendedahkan spesifikasinya dan cuma memberitahu ia mendapat kuasa daripada bateri Honda Mobile Power Pack e:, yang boleh dibawa keluar untuk dicas atau ditukar dengan bateri yang penuh.
Turut akan ditunjukkan kali pertama adalah CI-MEV, sebuah kereta elektrik yang cuma boleh menempatkan dua orang di dalamnya, dan menawarkan pengangkutan jarak pendek dan dilengkapi dengan sistem autonomous Honda Cooperative Intelligence (CI).
Melihat di dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Honda, ada satu lagi kereta konsep yang akan membuat penampilan pertama, tetapi gambarnya tidak didedah. Ia adalah kereta sports elektrik dan dikatakan masih mampu memberikan keseronokan pemanduan, meskipun berada dalam dunia elektrifikasi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.