Semasa acara International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) yang masih lagi berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kami telah menemui pengendali tempat mengecas (CPO) baru bernama Vcharge Asia. Ia dimiliki oleh sebuah syarikat gas dan minyak dari Sarawak, iaitu Ocean Vantage Holdings Berhad.
Menurut perunding bahagian tenaga boleh diperbaharui syarikat itu, Mok Kam Meng, Vcharge Asia kini sedang berada dalam proses untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak majlis perbandaran di Lembah Klang, antaranya termasuk Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Putrajaya. Memandangkan syarikat ini berasal dari Sarawak, bandar lain di negeri itu juga akan mendapat tempat mengecas daripada Vcharge Asia.
Kenapa semua majlis perbandaran ini terlibat? Sekarang ini terdapat banyak syarikat CPO, dan bahagian operasi yang besar telah diambil oleh kebanyakan syarikat besar sama ada kerana mereka lebih awal atau mempunyai lebih modal kewangan. Peserta baru dalam industri memerlukan sasaran yang lebih tertumpu dan Vcharge merancang untuk memberi fokus kepada tempat letak kereta perbandaran dan juga tempat letak kereta milik persendirian.
Sasaran mereka adalah untuk menyiapkan 100 pengecas di tempat letak kereta perbandaran dalam masa beberapa tahun akan datang, dengan yang pertama dijangka siap tahun ini. Menurut Mok, pengecas pertama Vcharge berkemungkinan berada dalam kawasan DBKL atau Perbadanan Putrajaya. Vcharge juga akan memberikan lebih tumpuan kepada pengecas DC berbanding AC, dan ini adalah lebih sesuai bagi kawasan komersial yang mempunyai trafik tinggi.
Tempat mengecas EV tepi jalan masih belum menjadi kebiasaan di negara kita memandangkan kebanyakan pengecas berada dalam kawasan seperti pusat beli belah, stesen petrol atau kawasan komersial persendirian. Apabila ditanya tentang masalah vandalism, Mok berkata tiada apa yang boleh dibuat untuk mengelak risiko vandalism secara penuh dan Vcharge akan memilih lokasi yang mempunyai banyak trafik dan semua tempat mengecas akan mempunyai CCTV.
Untuk bayaran, Vcharge akan menggunakan aplikasi mereka sendiri dan di dalamnya turut disediakan informasi lain seperti lokasi pengecas, ketersediaannya serta status pengecasan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.