Tahun lalu, Toyota mengumumkan Crown baharu ditawarkan dengan empat gaya bentuk badan, iaitu
Crossover, Sport, Sedan dan Estate. Sport merupakan versi SUV di dalam famili Crown, dan versi hibrid telah pun diperkenalkan awal bulan ini. Manakala Crown Sport elektrifikasi yang dipamerkan dalam Japan Mobility Show 2023 yang sedang berlangsung ini, adalah versi plug-in hybrid. Difahamkan versi PHEV ini belum dijual di peringkat domestik, tetapi dijangka akan memasuki pasaran pada Disember ini.
Di bawah hudnya, versi hibrid diberikan enjin 2.5 liter series parallel hybrid system dengan E-Four, dan Toyota berkata unit A25A-FXS ini boleh mencapai jarak perjalanan 21.3 km untuk setiap liter, mengikut kitaran WLTC. Versi PHEV juga menggunakan penjana kuasa 2.5 liter, tetapi menerima motor pacuan berketumpatan yang lebih tinggi yang juga membolehkan pengalihan beban depan/belakang.
PHEV juga menampilkan bateri lithium-ion berkapasiti besar yang baru dibangunkan. Walau pun tidak mendedahkan angka kapasitinya, Toyota berkata ia mampu memberikan jarak mod EV yang lebih jauh dan sesuai untuk pemanduan seharian.
Dengan ukuran 4,720 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,565 mm tinggi, SUV Crown ini memiliki imej luaran yang menyerlah, bagaikan muka jerung dengan lampu hadapan yang nipis, seperti yang diberikan pada model Prius terkini, dan fender belakang pula terkeluar dari D-pillar menghala ke roda belakang.
Untuk rodanya pula, SUV ini diberikan unit 21-inci, dan selain daripada sistem suspensi yang dikonfigurasikan khas untuk memberikan pemanduan yang lebih sporty, SUV Crown juga menampilkan stereng belakang dinamik (DRS) untuk memberikan ketangkasan yang lebih baik pada kelajuan rendah dan menambah kestabilan pada kelajuan yang lebih tinggi.
Di dalamnya, ia diberikan papan pemula dengan gaya ala ‘island architecture’ dengan elemen kontras pelbagai warna, termasuk serlahan merah pada model yang dipamerkan. Pembeli juga diberikan lima pilihan kombinasi warna dalaman dengan dua-rona.
Selain itu, ia juga diberikan skrin digital bersama dengan dua panel. Ciri baharu yang turut diberikan termasuklah sound-regulating ceiling, pertama dari Toyota, di mana bunyi di dalam kabin akan mewujudkan ruang yang membolehkan penumpang masih boleh berbual dengan lebih selesa.
Crown Sport akan menyertai Sedan, yang akan diperkenalkan November ini, manakala Crown Estate pula dirancang akan dilancarkan sebelum tahun fiskal 2024 Toyota berakhir.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.