Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengesahkan Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) setakat ini telah mencapai perkembangan 72% dan ia membabitkan gemblengan 29.8 juta data rentas kementerian serta agensi.
Katanya, selepas pangkalan data itu siap kelak, proses penyaluran subsidi secara bersasar akan dilakukan secara adil kepada isi rumah yang dikenal pasti layak.
“Saya faham dan saya pasti semua ahli dewan (rakyat) hargai bahawa adalah cukup penting untuk kita yakinkan rakyat serta juga sistem kerajaan bahawa PADU ini benar-benar boleh berlaku adil kepada penerima. Sebab kalau tidak yang ini akan bagi RM50, yang itu bagi RM100. Jadi orang yang dapat (bantuan) itu tercicir kiri kanan.
“Ia tak ada kesan kepada keluarga sedangkan jumlah yang dibelanjakan oleh kerajaan itu berpuluh-puluh bilion ringgit. Jadi matlamat untuk memastikan kita mula menyatukan bentuk bantuan ini sebahagian dari langkah jangka masa sederhana kerajaan. Saya ingat kita kena melalui proses ini dulu iaitu kita sasarkan (penyaluran) subsidi untuk petrol dan diesel terlebih dahulu, untuk tengok PADU ini betul-betul berlaku adil kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 peringkat dasar bagi kementerian di Dewan Rakyat semalam, laporan Berita Harian.
Tambahnya, mekanisme subsidi bersasar sepatutnya dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada dua minggu lalu, namun terpaksa ditangguhkan. Pembentangan itu tergendala kerana beliau dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami serangan jantung.
“Soal sama ada kerajaan sudah memutuskan mekanisme, ia sepatutnya dibentangkan dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri dua minggu lalu. Tetapi saya di hospital. Jadi insya-Allah ia akan akan dibentangkan dan kerajaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.