Chery Malaysia telah menguar-uarkan di Facebook rasmi mereka bahawa buat masa ini pihaknya telah pun mempunyai 22 pusat servis di seluruh negara, dengan 21 daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia, dan satu di Kuching, Sarawak. Syarikat ini juga berkata, lebih banyak pusat servis bakal dilancarkan, seiring dengan pelancaran lebih banyak model baharunya di pasaran tempatan.
Buat masa ini, barisan model Chery untuk pasaran tempatan hanya ada Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, yang kedua-duanya dilancarkan pada Julai lalu. Pada bulan lalu, Chery Malaysia turut mendedahkan mereka akan melancarkan tiga SUV baharu dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ini termasuklah SUV Omoda 9, nama lain bagi Exeed RX, bersama dengan siri produk baharu iaitu Jaecoo 7 dan 8. Ketiga-tiga model ini akan dijual dalam unit pemasangan tempatan (CKD) yang kebarangkalian dipasang di kilang Inokom, Kulim, Kedah. Namun Chery Malaysia juga sebenarnya berpotensi untuk membina fasiliti pemasangan sendiri.
Selain itu, model EV buatan Chery, Exlantix juga sedang dipertimbangkan untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia, termasuk juga dengan SUV ET dan sedan ES. Berkenaan dengan EV, Omoda 5 EV akan dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan, dengan model import sepenuhnya (CBU), dan buat masa ini, belum dipastikan adakah ia akan dipasang secara tempatan mahu pun tidak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.