Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melaksanakan ujian percubaan bagi sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) untuk kutipan tol di lebuh raya tahun hadapan. Walau bagaimana pun, kementerian terbabit tidak memaklumkan bilakah jangkaan sebenar ia akan dilaksanakan.
Menurut Timbalan Menteri KKR Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, MLFF akan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).
Di mana dengan pelaksanaan MLFF, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol, sekali gus meningkatkan kelancaran perjalanan di lebuh raya melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisien, laporan Bernama.
“Saranan ahli Yang Berhormat sebentar tadi, kita telah membuat kajian (melibatkan) banyak negara dan kita nak supaya yang terbaik, sebab itu dalam proses kajian.
“…dalam masa sama kita akan cuba pada 2024, penggunaan tersebut secara percubaan kita nak melihat keadaannya lebih sesuai digunakan… kita telah pergi melihat banyak negara menggunakan MLFF ini, penggunaannya sangat baik, jadi insya-Allah kita akan cuba sedaya upaya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sama ada kerajaan bercadang melaksanakan sistem kutipan tol tanpa plaza tol dan palang.
Pada hujung Mac lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan pelaksanaan Proof of Concept bagi sistem MLFF dengan memilih Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) sebagai lokasi pertama selewat-lewatnya hujung Oktober lalu. Manakala Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pula akan menjadi lokasi kedua pelaksanaan POC bagi menilai sistem MLFF. Nampak gayanya ujian percubaan MLFF ini tertunda ke tahun hadapan pula bagi membolehkan lebuhraya terlibat benar-benar bersedia untuk melaksanakannya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.