Toyota Camry 2025 tiba di Amerika Syarikat – hanya enjin hibrid 2.5L, kuasa sehingga 235 PS, AWD/2WD

Toyota Camry 2025 tiba di Amerika Syarikat – hanya enjin hibrid 2.5L, kuasa sehingga 235 PS, AWD/2WD

Selepas beberapa siri teaser, Toyota Camry generasi kesembilan akhirnya diperkenalkan secara rasmi buat pertama kalinya di Amerika Syarikat (AS), dan ditawarkan hanya dengan satu penggerak sahaja, iaitu hibrid series-parallel. Pembeli di sana boleh memilih sama ada pacuan dua roda atau semua roda, serta empat varian iaitu LE, SE, XLE dan XSE.

Toyota Hybrid System generasi kelima (THS 5) pada Camry serba baru ini menggunakan enjin petrol empat silinder sebaris 2.5 liter NA bersama dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 225 hp (228 PS).

Bagi versi AWD, ada motor ketiga yang diletakkan pada gandar belakang, dan meningkatkan kuasa keseluruhannya menjadi 232 hp (235 PS) – dipanggil sebagai E-Four. Kedua-dua pakej kuasa ini datang dengan transmisi CVT elektronik (E CVT), serta bateri lithium ion – kapasiti tenaga masih belum didedahkan.

Pilihan enjin V6 3.5 liter kini tidak lagi ditawarkan pada Camry baru meskipun kuasanya lebih tinggi, iaitu 301 hp, berkemungkinan kerana kurang permintaan, penggunaan bahan api yang tinggi serta langkah Toyota untuk mengurangkan emisi. Setakat ini juga tidak dinyatakan sebarang petunjuk untuk varian TRD, seperti yang ditawarkan pada model generasi kelapan.

Toyota Camry 2025 tiba di Amerika Syarikat – hanya enjin hibrid 2.5L, kuasa sehingga 235 PS, AWD/2WD

Camry baru ini masih lagi dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-K seperti model sebelum ini, tetapi beberapa perubahan dibuat termasuk penyerap baru serta talaan yang lebih bersesuaian dengan penggunaan atas jalan dan keselesaan.

Untuk rekaan luar, Camry baru ini mendapat gril ‘hammerhead‘ baru seperti Prius, Crown Sport dan C-HR. Lampu utama LED juga kini lebih nipis, dan disepadukan dengan DRL berbentuk C, sementara lubang udara tersembunyi digunakan pada bahagian bawah bampar, bersama kemasan baru.

Pergi ke belakang, lampunya mengikuti konsep rekaan bentuk C seperti di hadapan, dan disertai oleh tulisan Camry yang hurufnya lebih berjarak pada penutup but. Tempat letak nombor plat dan bahagian yang menyambungkan lampu serta bampar juga telah direka semula.

Toyota Camry 2025 tiba di Amerika Syarikat – hanya enjin hibrid 2.5L, kuasa sehingga 235 PS, AWD/2WD

Masuk ke dalam, papan pemuka diubah sepenuhnya, dengan kini lebih ringkas dan mempunyai skrin sesentuh 12.3 inci (varian lebih rendah mendapat unit lapan inci). Di hadapan pemandu pula terdapat panel instrumen digital 12.3 inci (varian lebih rendah menggunakan unit tujuh inci), serta roda stereng baru – head-up display 10 inci diberikan secara standard pada varian tinggi.

Di bawah skrin infotainmen tengah, kawalan pendingin hawa dan fungsi lain semuanya kini menggunakan butang (tiada lagi tombol), dan diletakkan atas pada corong pendingin hawa. Ke bawah lagi terdapat tombol gear biasa, tempat letak cawan, butang kawalan lain serta sedikit ruang barangan di bahagian penumpang.

Semua varian Camry 2025 di AS ini datang dengan Toyota Safety Sense 3.0, yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Assist, Road Sign Assist, Automatic High Beam, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Pakej Premium Plus pada varian XLE dan XSE pula memberikan Traffic Jam Assist, Front Cross Traffic Alert, Lane Change Assist, Panoramic View Monitor serta bantuan parkir hadapan dan belakang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required