Lebuhraya WCE – Persimpangan Bukit Raja-Assam Jawa dibuka mulai 21 Nov – tol percuma hingga 2 Jan

Lebuhraya WCE –  Persimpangan Bukit Raja-Assam Jawa dibuka mulai 21 Nov – tol percuma hingga 2 Jan

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah merasmikan pembukaan Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Laluan berkenaan dibuka secara rasmi kepada pengguna lebuh raya mulai 12.01 pagi ini, 21 November 2023 (Selasa).

Sempena dengan pembukaan rasmi laluan berkenaan, Alexander mengumumkan pengecualian tol bagi semua jenis kelas kenderaan yang melalui Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini bermula 21 November 2023 sehingga 2 Januari 2024, iaitu bagi pengguna lebuh raya yang memasuki WCE Seksyen 6 dari plaza tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa bagi kedua-dua arah.

Bagi Seksyen 6 ini, ia melibatkan jajaran sepanjang 21.8 kilometer yang menghubungkan secara terus pengguna lebuh raya dari Kapar ke Assam Jawa, Selangor. Laluan ini dibina menggunakan standard R6 dengan dua lorong dua hala yang dijangka akan dapat mengubah landskap pengangkutan di kawasan tersebut dengan penjimatan masa perjalanan antara bandar-bandar utama sekitar Klang, Shah Alam, Puncak Alam dan Kuala Selangor.

Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kapar ke Assam Jawa (Ijok) yang akan mengambil masa hanya 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada. Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya.

“Selain itu, pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini akan memberi impak positif dalam merancakkan industri pelancongan tempatan. Destinasi pelancongan menarik seperti Bandar Warisan Batu Arang, Bukit Malawati, Sky Mirror, dan Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan misalnya, kini, boleh diakses dengan lebih mudah oleh pengunjung.

“Ini akan dapat meningkatkan aktiviti pelancongan di kawasan itu serta mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan tempatan. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga bakal mendapat manfaat daripada pembukaan lebuh raya ini yang sekaligus dapat merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi kepada komuniti setempat,” kata KKR lagi.

Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini juga mempunyai sambungan secara terus dengan Lebuhraya LATAR yang menawarkan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna.

Empat seksyen pertama Lebuhraya WCE telah dibuka sebelum ini pada tahun 2019, melibatkan tiga seksyen di Perak iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang–Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir–Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas), manakala satu seksyen di Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan-Bandar Bukit Raja Utara).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required