Proton bakal terima Apple CarPlay, Android Auto nanti; libatkan naik taraf peranti, bukan hanya perisian

Proton bakal terima Apple CarPlay, Android Auto nanti; libatkan naik taraf peranti, bukan hanya perisian

Tidak mengejutkan apabila Proton S70 dilancarkan minggu depan, ia masih belum dilengkapi dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto (AACP). Perkara ini telah dimaklumkan secara tak langsung pada Julai lalu, bahawa sedan ini hanya akan didatangkann dengan infotainment head unit (IHU) dengan Atlas OS yang diberi peningkatan.

Tetapi, Proton bersama dengan ACO Tech sedang berusaha ke arah itu. Hal ini disahkan oleh Ketua Pengurusan Projek ACO Tech, Sunny Wang ketika taklimat bersama media awal November lalu. Menurutnya, kesepaduan AACP ke dalam sistem tersebut sedang dibangunkan dan tidak akan mengambil masa yang terlalu lama untuk ditawarkan kepada pelanggan.

Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah juga menjelaskan, chipset untuk IHU berkenaan memerlukan perubahan untuk menyokong AACP, dengan turut melibatkan pertambahan peranti, dan bukan sekadar kemaskini perisian sahaja. Roslan juga menghuraikan alasan terhadap kelewatan penawaran AACP bagi model Proton itu.

“Dari mana datangnya model ini? Dari tempat di mana Google tidak dibenarkan penggunaannya. Bagaimana untuk mesra kepada Google untuk mendapatkan lesen mereka. Dan nampaknya Google juga tidak mahu menjadi rakan niaga yang baik untuk sesetengah pengeluar. Kami masih berbincang dengan Google untuk bekerjasama dengan kami, begitu juga dengan Apple. Untuk mendapatkan lesen tersebut agak sukar untuk kami berbanding pengeluar lain. Geopolitik juga menyukarkan lagi keadaan buat kami,” ujarnya, merujuk kepada ketegangan geopolitk dan persaingan teknologi antara US dan China.

Proton bakal terima Apple CarPlay, Android Auto nanti; libatkan naik taraf peranti, bukan hanya perisian

Jadi, Proton-ACO Tech ketika ini masih bekerja keras untuk menawarkan AACP dalam model-modelnya, dan harapnya itu tidak akan memerlukan masa yang lama selepas ini. Namun, AACP berkenaan memerlukan perubahan peranti atau peralatan, jadi pengguna Proton sedia ada mungkin perlu naik taraf peranti juga, dan bukan hanya kemaskini perisian misalnya melalui OTA.

Tetapi, jika melihat kepada pengeluar China yang lain, misalnya GWM dan BYD, semuanya telah dilengkapi dengan AACP. Jadi mengapa keadaannya agak sukar untuk Geely? Mungkin ada hal-hal lain yang masih tertutup rapat antara kedua pihak tersebut. Sedikit malang bagi Proton S70 yang diposisikan dalam segmen C pula, model lain dari segmen B seperti Toyota Vios dan Honda City ada AACP. Bahkan, model Perodua seperti Alza pun ada AACP.

Sebagai latar ringkas, servis dari Google, Meta dan banyak lagi aplikasi dari gergasi teknologi Barat tidak ditawarkan di China, yang mempunyai aplikasi setara mereka sendiri bagi setiap satunya. Pengguna di China menggunakan produk mereka sendiri bagi menggantikan aplikasi Barat berkenaan — sebagai contoh, AutoNavi oleh Alibaba dan servis penstriman muzik QQ Music oleh Tencent menggantikan penggunaan Waze/Google Maps dan Spotify. Perisian itu jugalah yang disepadukan di dalam kenderaan di sana.

Maka, tidak ada keperluan utnuk pengeluar China melabur dalam sistem yang serasi dengan AACP. Memang ada jenama di China yang berusaha ke arah itu, Geely bukanlah sebahagian daripada kelompok itu. Disebabkan itulah mengapa AACP ini masih belum boleh diperkenalkan untuk Proton.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required