Dalam satu acara khas seperti pesta untuk pemilik Royal Enfield di India yang dipanggil sebagai Motoverse, Royal Enfield telah memperkenalkan sebuah model istimewa baru iaitu Shotgun 650. Ia ditawarkan cuma 25 unit sahaja dan dijual hanya di tapak acara tersebut.
Shotgun 650 sebenarnya adalah versi produksi bagi model yang ditunjukkan sewaktu EICMA 2021, iaitu SG650 Concept, dengan membawa inspirasi daripada dunia ubah suai dan kustom motosikal yang banyak dilakukan pada model Royal Enfield.
Menurut pengeluar tersebut, Shotgun 650 adalah sesuatu yang berbeza berbanding Royal Enfield yang berada atas jalan sekarang, dan ia menampilkan pelbagai barangan buatan khas serta panel badan yang dicat dengan tangan.
Penggerak model ini adalah enjin dua silinder selari 650 cc sama seperti model 650 Royal Enfield yang lain termasuk Super Metor 650, Interceptor 650 dan Continental GT. Pada model yang disebutkan, enjin tersebut mampu menghasilkan sekitar 46.8 hp pada 7,150 rpm dan 52.3 Nm tork pada 5,150 rpm, tetapi Royal Enfield mungkin melakukan sedikit talaan untuk menyesuaikannya dengan Shotgun 650.
Kelengkapan lain yang boleh dilihat pada Shotgun 650 adalah termasuk cermin sisi di hujung pemegang, tempat duduk belakang yang boleh dicabut, lampu LED, panel meter gabungan analog dan digital sama seperti Super Meteor 650, brek cakera depan dan belakang, fork teleskopik serta dua penyerap hentak di belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.