Anda ada kira perbelanjaan petrol bulanan anda? Menurut timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kumpulan B40 membelanjakan secara puratanya RM243 sebulan untuk RON95 manakala T20 pula RM399 sebulan.
Zahid memetik satu kajian berkenaan impak program subsidi petrol, dan ucapan beliau dibaca oleh pemangku menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali semasa pelancaran acara Symposium on Cost of Living semalam, seperti yang dilaporkan oleh NST.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, meskipun subsidi bahan api telah membantu menstabilkan harga, memastikan bekalan yang berterusan serta memudahkan perbelanjaan rakyat, sebahagian daripadanya telah dinikmati oleh kumpulan berpendapatan tinggi dan bukan warga negara. Disebabkan itu, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk meneruskan cara sekarang ini, iaitu subsidi menyeluruh (atau blanket).
“Hasil kajian ini menunjukkan cara subsidi menyeluruh ini tidak menjangkau kumpulan sasaran yang sepatutnya secara cekap,” kata beliau sambil menambah subsidi diesel turut disalah guna.
“Ia telah disalah guna oleh kumpulan tertentu, yang mengambil kesempatan terhadap subsidi diesel, membawa kepada penyelewengan dan penyeludupan ke pasaran gelap. Disebabkan itu, kerajaan tidak patut meneruskan cara sekarang dan ia tidak adil bagi kumpulan sasaran yang betul-betul memerlukan bantuan,” tambah beliau sambil menambah bahawa tahun lepas subsidi berjumlah RM91.9 bilion.
“Untuk tahun ini, peruntukan untuk subsidi adalah RM64 bilion, tetapi kerajaan menjangkakan jumlah ini akan mencecah RM80.9 bilion mengikut perbelanjaan sekarang. Senario sekarang tidak optimal secara fiskal, oleh sebab itu kerajaan yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan untuk memperbaiki cara penyampaian bantuan bersasar untuk rakyat,” kata beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.