Tesla Malaysia kini mula menyerahkan Tesla Model 3 Highland facelift di ibu pejabatnya di Cyberjaya hari ini. Dalam sesi pagi tadi juga syarikat itu mengumumkan pembukaan pusat servis pertamanya, yang terletak di banguna berasingan di lokasi yang sama, di Persiaran APEC.
Pusat servis dengan keluasan 22,000 kaki persegi itu akan menyediakan pengalaman servis sehenti untuk pemilik Tesla, termasuk dengan sokongan diagnosis jarak jauh over-the-air (OTA) dan talian pelanggan 24/7. Pemilik boleh membuat tempahan temujanji melalui aplikasi Tesla.
Dibuka setiap Isnin hingga Jumaat, dari 9 pagi hingga 6 petang, kemudahan ini mempunyai 10 ruang servis. Menurut syarikat itu lagi, setiap juruteknik boleh melakukan servis ke atas sebuah kereta setiap jam, menjadikan lapan kereta sehari untuk setiap juruteknik, dengan kapasiti servis maksimum sebanyak 80 kereta sehari.
Ketika ini, terdapat enam juruteknik bertugas di sana, dan jumlah itu akan ditambah lagi nanti. Pusat servis ini juga menempatkat empat Supercharger 250 kW V3 dan tiga Wall Connector AC, sebagai tambahan kepada 12 Supercharger dan 12 Wall Connector yang disediakan di bangunan utama, yang hanya untuk tujuan kegunaan dalaman syarikat sahaja.
Untuk kenderaan Tesla yang diimport secara persendirian dan bukan melalui saluran rasmi, Tesla Malaysia memaklumkan unit berkenaan tidak boleh dibawa untuk servis di kemudahan berkenaan, memandangkan jaminan adalah tertakluk kepada di mana lokasi kereta berkenaan didaftarkan.
Syarikat itu juga mengumumkan bahawa pihaknya akan melancarkan bengkel baik pulih badan kenderaan Tesla yang diiktiraf, tidak lama lagi, dan akan membuat pengumuman apabila kemudahan pertama tersebut yang akan terletak di kawasan Sungai Besi, sedia untuk beroperasi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.