Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengulangi amaran yang sama mengenai penggunaan lampu kecemasan, amaran, atau lampu hazard (atau pun ramai yang lebih senang menyebutnya sebagai ‘double signal’) sewaktu memandu ketika hujan.
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, penggunaan lampu hazard tersebut dilihat cenderung mengakibatkan kemalangan jalan raya dan ia hanya dibenarkan untuk waktu kecemasan sahaja.
“Di Malaysia, perkara ini masih samar-samar disebabkan tiada yang disebutkan dengan jelas dan spesifik tentang penggunaan lampu hazard. Namun, sekiranya pemandu dalam konteks kecemasan (akibat hujan lebat), mereka perlu menghentikan pemanduan jika darjah penglihatan terhad dan tidak berupaya mengawal kenderaan.
“Lampu hazard ini adalah bertujuan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain serta menarik perhatian kenderaan yang mengekori untuk mengambil tindakan segera dan selamat bagi mengelak pelanggaran,”ujarnya menerusi laporan Kosmo!
Tambah beliau, selain penggunaan lampu hazard ketika hujan lebat, ia juga sering dilihat digunakan ketika konvoi mengiringi kenderaan jenazah, konvoi rombongan kahwin, konvoi kelab bermotor atau semasa kenderaan ditunda dan kenderaan kecemasan seperti ambulans.
“Penggunaan lampu hazard ketika kenderaan bergerak akan mengelirukan pengguna lain khususnya sewaktu hujan lebat. la sukar dibezakan sama ada kenderaan tersebut sedang berhenti atau bergerak. Seterusnya, ia sangat berbahaya jika kenderaan yang disangkakan sedang bergerak rupa-rupanya sedang rosak atau tersadai di tengah laluan.
“Jika lampu hazard dipasang, bagaimana kita (pemandu) ingin memberitahu pengguna jalan raya yang lain arah mana kita ingin membelok?,”tambahnya.
Cara yang paling tepat untuk memudahkan pemandu lain ‘perasan’ kehadiran kenderaan yang anda pandu ialah dengan menyalakan lampu utama kenderaan anda, ia akan cukup jelas kelihatan semasa hujan lebat. Dan sekiranya jarak penglihatan menurun kurang dari 100 m, pasang lampu kabus (fog lamp) hadapan, dan jika memang diperlukan, lampu kabus belakang juga boleh digunakan, khususnya bagi membantu pemandu kenderaan di belakang anda mengagak jarak antara kenderaan di hadapannya.
Selain itu, anda juga dinasihati supaya memperlahankan kelajuan kenderaan. Dalam erti kata lain, jangan pandu laju sewaktu hujan lebat. Kelajuan melebihi 80 km/j boleh membuatkan tayar kenderaan tidak begitu mencengkam pada permukaan jalan, malah boleh membuatkan kenderaan yang dipandu hilang kawalan.
Kami kongsikan semula TIP MEMANDU KETIKA HUJAN LEBAT yang pernah disiarkan beberapa tahun lalu. Moga ia dapat memberikan panduan kepada anda, selain perlu meningkatkan fokus pemanduan dan amalkanlah pemanduan berhemah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.